UKM Raih 5 Bintang dalam QS Stars Rating 2017
Oleh Asmahanim Amir
Gambar Oleh Prof. Dato’ Dr. Riza Atiq Abdullah OK Rahmat & Abd Raai Osman
BANGI, 21 Mei 2017 – Universiti Kebangsaan Malaysia telah dianugerahkan 5 Bintang dalam QS Stars Rating yang diumumkan di Dubai baru-baru ini.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dato Ir Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat berkata dalam lapan kategori yang dinilai oleh QS Intelligence Unit iaitu Pengajaran, Kebolehpasaran, Penyelidikan, Keantarabangsaan, Kemudahan, Inovasi, Keterangkuman dan Pendidikan, hanya penyelidikan dan pendidikan sahaja yang memperoleh 4 bintang.
Beliau berkata itu adalah kali pertama UKM menyertai QS Stars Rating dan ia satu kejayaan yang membanggakan seluruh warga UKM.
“Sejak QS Stars Rating ini diperkenalkan pada tahun 2013, kira-kira 50 universiti seluruh dunia telah memperoleh 5 Bintang termasuk University of Oxford dan University of Cambridge.
“Di Malaysia pula, UM, USM, UPM dan UTP juga pernah mendapat pengiktirafan 5 Bintang.
Prof Dato’ Ir Dr Riza Atiq berharap pengiktirafan ini akan menjadi daya penarik buat pelajar antarabangsa untuk belajar di UKM.
“Kejayaan ini menunjukkan kita (UKM) adalah hampir setaraf dengan universiti terkemuka dunia yang lain dan ia juga menunjukkan kualiti UKM semakin diiktiraf diperingkat antarabangsa,” ujarnya.