UKM Sambut Aidilfitri dengan Meriah


Oleh Azril Izzat Ramlan
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 31 Mei 2022 – Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di peringkat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) disambut meriah oleh seluruh warga UKM setelah dua tahun tidak diadakan ekoran wabak Covid-19.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd. Ekhwan Hj. Toriman mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga UKM yang terlibat serta para jemputan yang turut hadir bersama-sama memeriahkan majlis.

“Kemeriahan Aidilfitri tahun ini tentunya berbeza setelah dua tahun kita merayakan Aildilfitri secara sederhana dan selama dua tahun ini juga UKM tidak menganjurkan sambutan Aildilfitri,” katanya.

Beliau turut berbangga dengan persiapan majlis yang telah dijalankan dengan meriah.

Pelbagai gerai juadah hari raya disediakan mewakili negeri-negeri di Malaysia untuk menyemarakkan lagi suasana hari raya UKM yang bertaraf kebangsaan.

Antara menu yang disajikan adalah juadah istimewa dari negeri Terengganu, Sarawak, Kelantan dan Pahang.

Majlis Sambutan Hari Raya Aildilfitri peringkat UKM turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran penyanyi veteran tanah air iaitu Datuk DJ Dave yang menyampaikan dua buah lagu “hits”nya iaitu Menjelang Hari Raya dan Ingin Bersua.

Selain itu, beberapa persembahan nyanyian turut diadakan oleh artis budaya UKM dan para pelajar artis sukma sebagai hiburan.

Pensyarah kanan dan ketua program Antropologi dan Sosiologi, Dr Azlina Abdullah, berkata beliau sangat teruja untuk turut serta menghadiri majlis tersebut.

“Saya sibuk hari ini tetapi saya tetap nak datang walaupun sekejap sebab sudah lama saya tidak menghadiri majlis hari raya UKM,” katanya.

Pelajar tahun 3 dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Faizal Isa, 23, menyatakan bahawa perasaannya agak bercampur baur apabila disoal tentang majlis Sambutan Hari Raya peringkat UKM yang diadakan.

“Saya gembira sebab dapat turut serta hari ini dan saya juga sedih sebenarnya kerana inilah sambutan hari raya peringkat UKM yang terakhir saya akan hadir kerana tahun ini merupakan tahun terakhir saya di UKM,” katanya.

Majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Pendaftar UKM ini dimeriahkan dengan kehadiran Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak, Naib Canselor Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd. Ekhwan Hj. Toriman serta pengurusan tertinggi universiti.

Selain itu, majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran alumni dan juga para pelajar UKM.