UKM Santuni Pelajar dan Ibu Bapa yang Hadir Mendaftar di Kampus
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 3 Oktober 2020 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tetap menyantuni pelajar dan ibu bapa yang hadir ke kampus secara fizikal hari ini walaupun sesi pendaftaran pelajar dibuat secara dalam talian.
Naib Canselor, Prof Dato’ Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, walaupun UKM telah mengeluarkan pekeliling mengenai penangguhan pendaftaran pelajar termasuk pelajar baharu dan semasa Semester 1, Sesi 2020/2021 dibuat secara dalam talian, namun UKM tetap membenarkan dan menyantuni para pelajar serta ibu bapa yang telah pun sampai untuk membuat pendaftaran terutamanya mereka yang telah membuat perjalanan lebih awal ke kampus UKM termasuk juga bagi mereka yang sedang berada dalam perjalanan dengan mengikuti SOP yang telah ditetapkan.
“Proses pendaftaran adalah mengikut SOP yang telah ditetapkan. Pelajar yang datang akan membuat saringan suhu dan jika mereka tidak bergejala, mereka akan terus ke kolej untuk proses pendaftaran dan mengambil kunci bilik.
“Ibu bapa atau waris pula hanya menurunkan sahaja barang-barang pelajar di kawasan yang telah ditetapkan dan barang-barang tersebut akan dibawa oleh Pemudah Cara (PC) kolej ke bilik pelajar tersebut. Ada ibu bapa yang mahukan anak mereka untuk tinggal di kolej kediaman memandangkan suasana di rumah yang kurang kondusif terutamanya kemudahan capaian internet dan sebagainya.
“UKM menyantuni dan tetap menerima pendaftaran mereka dengan baik. UKM dengan sedaya upaya akan mengambil alih tanggungjawab menjaga keselamatan pelajar di kampus dan ibu bapa tidak perlu bimbang. Pemantauan berterusan dan saringan kesihatan juga kami lakukan dengan teliti,” katanya.
Beliau berkata, jika terdapat pelajar yang datang dari zon merah, mereka akan dirujuk ke Pusat Kesihatan Universiti untuk dibuat saringan dan mengenal pasti tahap risiko.
“Sekiranya pelajar itu mempunyai risiko tinggi, pelajar tersebut akan di bawa ke Pejabat Kesihatan Daerah untuk saringan lanjut dan bagi yang berisiko rendah, kita akan berikan satu kad dan pelajar ini akan kembali ke kolej kediaman, namun diasingkan penempatannya daripada pelajar lain bagi mengurangkan risiko” ujarnya.
Pendaftaran pelajar prasiswazah baharu dan semasa Semester 1, Sesi 2020/202, dibuat secara dalam talian melalui laman web https://appsmu.ukm.my/edaftar (pelajar baharu) dan https://smplucee.ukm.my/smpweb/index.cfm (pelajar semasa). Manakala pelajar pascasiswazah pula adalah melalui laman web http://guest.ukm.my (pelajar baharu) dan https://smplucee.ukm.my/smpweb/index.cfm (pelajar semasa).
Untuk kemasukan pelajar baharu Semester 1, Sesi 2020/2021, UKM menerima seramai 3,916 pelajar dari seluruh Malaysia yang akan mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda di tiga Kampus UKM iaitu UKM Bangi, UKM Kampus Kuala Lumpur (Cheras) dan UKM Kampus Kuala Lumpur (Jalan Raja Muda Abdul Aziz).
UKM turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para pelajar, ibu bapa dan waris serta semua pihak yang terlibat dalam memudahkan proses pendaftaran pelajar baharu hari ini.
“Kami amat menghargai segala maklum balas positif yang diterima sepanjang hari ini,” katanya.