UKM Sasar 85 Peratus Graduan Mendapat Pekerjaan Selepas Tamat Belajar
Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat
BANGI, 13 September 2019 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mensasarkan sekurang-kurangnya 85 peratus graduannya mendapat pekerjaan selepas enam bulan tamat belajar, berbanding 83.3 peratus setakat ini.
Naib Canselor, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, UKM telah menyediakan pelbagai inisiatif dan program-program kepada para pelajar bagi memastikan graduan UKM tidak ketinggalan dalam bidang pekerjaan.
“Media melaporkan 53,000 siswazah menganggur selepas enam bulan lepas tamat pengajian. Kita kena pastikan graduan UKM bukan salah seorang daripada statistik ini.
“Saya mahukan pelajar dan graduan UKM sebelum graduate dah dapat kerja. Saudara saudari kena lihat selepas empat tahun ke mana anda? Saya tidak mahu ada antara saudara saudari yang hanya mahu bergraduan sahaja tanpa memikirkan soal pekerjaan,” katanya semasa sesi Slot Pelajar Baharu Bersama Pengerusi UKM, Naib Canselor dan Timbalan-Timbalan Naib Canselor di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), baru-baru ini.
Beliau berkata, antara beberapa sebab graduan tidak mendapat kerja selepas enam bulan tamat belajar adalah meminta gaji yang tidak munasabah, terlalu memilih pekerjaan, tidak fasih berbahasa Inggeris, kurang kemahiran berkomunikasi serta sikap dan personaliti yang tidak bagus.
“Walaupun UKM adalah universiti yang menggunakan Bahasa Melayu dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, tetapi kita tidak membelakangkan Bahasa Inggeris. Pelbagai inisiatif yang telah kita rangka dan gunakan kepada para pelajar supaya saudara saudari tidak ketinggalan dalam menguasai Bahasa Inggeris,” katanya.
Beliau berkata, kemahiran berkomunikasi serta sikap dan personaliti juga adalah penting supaya para graduan kelak lebih berdikari semasa masuk ke alam pekerjaan.
“Macam-macam UKM buat untuk saudara saudari mendapat pekerjaan, dan saudara saudari mesti respond dengan pelbagai program yang akan UKM buat bagi meningkatkan graduate employability. Kalua tidak, ia tidak akan berjaya,” ujarnya.
Seramai 4,060 pelajar baharu sesi akademik 2019-2020 telah melafaz ikrar dan berjanji tidak mensia-siakan peluang yang diberi sebagai seorang mahasiswa.
Hadir sama, Pengerusi UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Dekan-dekan fakulti, para pegawai kanan Universiti dan pengetua-pengetua kolej kediaman.