UKM Sasar Kutipan Amal 50,000 Tan Fabrik Sempena Ulang Tahun Ke-50 UKM
Oleh Siti Lailatul Mastura
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 7 Disember 2019 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berkolaborasi dengan Institut Onn Ja’afar (IOJ) dan Kloth Cares, bagi memberi kesedaran dan kesempatan kepada masyarakat untuk mendermakan pakaian terpakai ke saluran yang betul.
Kerjasama tersebut telah mencetuskan program Jom Fabrik bertemakan Fabrik terpakai, Harapan Baru melalui pelancaran kutipan amal bagi mengumpul fabrik terpakai.
Program tersebut juga mensasarkan kutipan pakaian sebanyak 50,000 tan sempena ulang tahun ke-50 UKM.
“Masyarakat pada zaman kini terlalu fokus kepada isu pengurusan kitar semula seperti isu plastik tetapi terlepas pandang dari segi kitar semula fabrik yang juga penting dalam masyarakat Malaysia,”kata Ketua Pengarah Program Jom Fabrik, Norfadzlin Ilyana Zainudin.
Dalam pada itu, sumbangan amal fabrik sebanyak 50 tan hasil kutipan daripada warga UKM dan pelajar akan disumbangkan kepada mereka yang memerlukan.
Setiap fabrik yang berjaya dikumpul akan dikategorikan kepada dua bahagian mengikut keadaan fabrik sama ada dijual pada harga RM1 ataupun dijual pada harga tertentu mengikut keadaan fabrik.
Selain itu, menurut jurnal Waste Management Assessment of Carbon Footprint Emissions and Environmental Concerns of Solid Waste Treatment and Disposal Techniques, kira-kira lapan peratus sisa pepejal di negara ini terhasil daripada sisa buangan berunsur fabrik.
Majlis pelancaran itu telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Ir Dato’ Dr Othman A. Karim.