UKM, Satu-satunya Universiti yang Mendapat Dana Kajian Kelip-Kelip yang Terbesar di Malaysia


Oleh Asmahanim Amir
Gambar Oleh Ikhwan Hashim

BANGI, 22 Februari 2019 – Kelip-kelip adalah sejenis serangga dari kumpulan kumbang dalam order Coleoptera dan daripada famili Lampyridae.  Kelip-kelip mengeluarkan cahaya biopendar daripada organ cahaya yang terdapat di bahagian abdomen.  Spesies kelip-kelip ini berkelip untuk menarik pasangan untuk mengawan dan secara tidak langsung sebagai salah satu mekanisma pertahanan dari musuh.

Dalam memastikan serangga ini terus terpelihara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), telah menjalankan kajian tentang serangga tersebut dan UKM satu-satunya universiti yang mendapat dana kajian kelip-kelip yang terbesar di Malaysia.

Ketua Penyelidik Projek Pemuliharaan  Habitat Kelip-Kelip (Kumpulan KELIP2@UKM)  Kampung Dew, Prof Madya Dr Norela Sulaiman berkata, kajian yang dijalankan sejak dua tahun lepas dengan dana kira-kira RM1.09 juta yang ditaja oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) merangkumi tiga kawasan pemuliharaan kelip-kelip iaitu di Kampung Dew, Semanggol, Perak;  Kampung Yak Yah, Kemaman, Terengganu dan Kampung Sg. Timun, Rembau, Negeri Sembilan.

“Kajian ini merangkumi kajian kepelbagian kelip-kelip dan serangga yang berhubung dengannya, tumbuhan tebing sungai  yang dikaitkan dengan pokok peragaan kelip-kelip, perubahan guna tanah yang memberi kesan kepada habitat kelip-kelip di setiap kawasan kajian.

“Di samping itu, kajian kualiti air di setiap sungai yang mempengaruhi pokok berembang  (nama saintifik: Sonneratia caseoralis sebagai pokok peragaan utama kelip-kelip)  dan kajian burung,  kelawar dan hidupan akuatik yang terlibat dengan kesihatan ekosistem paya bakau turut dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, penanaman semula pokok berembang di tebing sungai turut dilakukan bagi menambahkan populasi kelip-kelip di setiap kawasan kajian dan seterusnya dapat meningkatkan sosioekonomi penduduk tempatan melalui sewaan bot untuk membawa pelancong yang datang melihat kelip-kelip, serta penjualan anak benih pokok berembang kepada badan-badan luar yang berminat untuk membuat usaha pemuliharaan kelip-kelip.

Prof Madya Dr Norela berkata, penduduk kampung yang terlibat seharusnya berbangga kerana habitat kelip-kelip adalah unik yang  gemar hidup di pokok berembang dan tidak semua negara di dunia dikurniakan hidupan itu.

“Kelip-kelip di Malaysia disifatkan antara yang berjaya dipulihara  berikutan kesedaran masyarakat untuk memulihara ekosistem tempat kelip-kelip membiak.

“Kelip-kelip di Malaysia juga sangat unik kerana mereka berkelip serentak,” jelasnya.

Katanya, antara spesies utama kelip-kelip yang dikaji ialah Pteroptyx tener iaitu kelip-kelip yang berkelip sederap dengan 3.7 kerlipan sesaat yang terdapat di semua sungai yang dikaji, disamping Pteroptyx malaccae yang juga berkelip secara sederap tetapi tidak didapati di semua sungai yang dikaji.

Spesies kelip-kelip Pteroptyx valida di Sungai Sepetang, spesies kelip-kelip , Pteroptyx assymmetria dan Pteroptyx malaccae di Sungai Rembau dan spesies kelip-kelip Pteroptyx valida dan Pteroptyx  malaccae di Sungai Chukai iaitu kelip-kelip yang berkelip tidak sederap.

“Kami fokus untuk perbanyakkan spesies kelip-kelip yang berkelip sederap untuk meningkatkan sosioekonomi penduduk tempatan melalui sektor ekopelancongan negara,” katanya.

Selain tiga kawasan yang mendapat tajaan TNB, Kumpulan KELIP2@UKM juga telah membuat kajian di seluruh Malaysia. Di Semenanjung, kawasan tersebut adalah di Kota Tinggi, Johor; Kampung Kuantan, Kuala Selangor; Selangor, Kampung Sungai Panjang, Sabak Bernam, Selangor; Kampung Paya Lebar, Melaka; Kampung Hulu Melaka, Langkawi; Tasik Chini, Pahang dan Kuala Woh, Perak.

Manakala di Sarawak pula kawasan yang terlibat ialah Sungai Raan, Sungai Sibuti, dan Sungai Niah, yang kesemuanya adalah di Miri.