UKM Sediakan Ruang Pembelajaran Berteknologi Sebagai Hub Ilmu Dunia Digital


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim dan Izwan Azman

BANGI, 14 Oktober 2020 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Switch dan Apple menyediakan ruang pembelajaran berteknologi iaitu ruang AktivUKM™ kepada para pelajar dan seluruh warga kampus.

Naib Canselor, Prof Dato’ Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, ruang AktivUKM™ itu adalah ruang pembelajaran pertama di universiti awam di Malaysia, yang melibatkan kolaborasi strategik bersama industri.

“Idea penubuhan ruang AktivUKM™ ini tercetus selari dengan Pelan Strategik UKM 2019-2021 yang berkonsepkan House of Quality di mana Pengajaran-UKM telah diberikan mandat merealisasikan Pemerkasaan Pengajaran & Pembelajaran dan Penyerlahan Bakat.

 “Selari dengan mandat tersebut, penubuhan ruang AktivUKM™ ini diharap dapat memperkasakan pelajar dengan kemahiran yang relevan dan futuristik bagi menghadapi era Revolusi Industri ke-4,” katanya.

Beliau berkata, ruang itu diwujudkan sebagai hub ilmu yang menghubungkan pelajar, pensyarah dan warga UKM.

“Lokasinya yang terletak di Perpustakaan Tun Sri Lanang, menjadikannya sebagai jambatan menghubungkan ilmu di dunia fizikal dan dunia digital.

“Sesuai dengan namanya, AktivUKM™, ia adalah simbolik untuk memacu aktiviti pengajaran dan pembelajaran digital dalam kalangan warga kampus serta masyarakat,” katanya.

Selain itu, katanya, kemahiran-kemahiran yang dibudayakan dalam ruang tersebut diharap dapat menyediakan pelajar, pensyarah dan warga UKM untuk berkongsi, memberikan inspirasi, menyampaikan ilmu dan seterusnya mampu meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan.

Melalui ruang pembelajaran ini, para pelajar akan bersama Switch dan Apple dalam mendapatkan pengalaman “hands-on” dan secara langsung tentang kemahiran digital dan futuristik untuk kerjaya mereka kelak.

Pelajar juga dapat bersama dengan pakar digital dalam ruang tersebut bagi mengaplikasikan pembelajaran aktif dengan teknologi Apple serta membangunkan dan mencipta bahan digital berinovasi dengan ruang dan teknologi futuristik.

Selain itu, ruang AktivUKM™ menyediakan hub kepada para pensyarah mengukuhkan lagi jalinan strategik bersama Apple dalam mentransformasi pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Dengan jalinan tersebut, pakar teknologi akan bersama pensyarah dalam mereka bentuk semula pengajaran dengan teknologi ekosistem Apple yang futuristik seiring dengan Pendidikan 4.0.  Pensyarah juga dapat mencipta dan berinovasi dalam PdP dan seterusnya memacu pendidikan yang berpaksikan Revolusi Industri ke-4.