UKM Serikan Sambutan Tahun Baru 2020 Dengan Program Gempita Emas UKM 50


Oleh Mas Aliza Abu
Foto Ikhwan Hasim

1 Januari 2020 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menyambut Ulang Tahun ke-50 pada 18 Mei 2020, sehubungan dengan itu, Sekretariat Sambutan Jubli Emas UKM telah menganjurkn Program Gempita Emas UKM sebagai pembuka tirai tahun baharu iaitu pada 1 Januari 2020 di Stadium UKM Bangi sebagai simbolik permulaan Sambutan Jubli Emas pada tahun 2020.

Program Gempita Emas UKM yang dihadiri kira-kira 500 orang  terdiri daripada ahli pengurusan tertinggi UKM, kakitangan dan juga para mahasiswa UKM telah dimulakan dengan aktiviti senamrobik dan zumba serta diikuti ucapan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni),  Prof. Dato’ Ir Dr Othman A. Karim yang mewakili Naib Canselor UKM.

Prof Dato’ Ir D. Othman dalam ucapan perasmiannya berharap, semua warga UKM terus memberikan komiten yang terbaik dalam mencapai semua perancangan yang telah dirangka pada tahun 2020 disamping mengamalkan konsep KAMII iaitu Keserakanan, Akauntabiliti, Merit, Inovatif dan Integriti dalam menjalankan tugas seharian.

Majlis diserikan dengan seluruh warga UKM menurunkan ucapan dan harapan kepada UKM sempena Sambutan Jubli Emas pada Kanvas Gempita Emas UKM.  Di samping itu, acara kemuncak iaitu seluruh warga UKM yang hadir membentuk formasi logo rasmi Jubli Emas UKM dengan menggunakan benang dan melepaskan sejumlah 2020 buah belon secara serentak sebagai simbolik kepada permulaan sambutan UKM ke 50 tahun yang telah dirancang.

Aktiviti yang telah dirancang untuk Sambutan Jubli Emas UKM sepanjang tahun 2020 adalah melibatkan Warga UKM secara khususnya dan masyarakat sekitar amnya seperti Projek Syiling Peringatan Emas, Projek Nombor Kenderaan Khas, Projek Santapan Diraja Jubli Emas, Projek Lukisan, Projek Jelajah Gemilang Jubli Emas, Projek Buku Terbitan Khas dan pelbagai pengisian yang akan mewarnai sambutan Jubli Emas UKM.

UKM juga telah melancarkan logo rasmi Jubli Emas UKM dalam satu majlis yang telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi UKM. Malah beliau telah menurunkan tandatangan rasmi pada Bingkai Kenangan Logo Rasmi Jubli Emas UKM sebagai simbolik pelancaran Majlis Sambutan Semarak 50 UKM.