UKM Tanam 100 Pokok Gutta Percha, Sempena Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia 2022
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
PUTRAJAYA, 18 Mei 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menanam 100 batang pokok Gutta Percha di sekitar kampus UKM Bangi, bersempena dengan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia 2022.
Program yang dijalankan serentak di 23 lokasi di seluruh negara iaitu di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Perak, Melaka, Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Perlis telah disenaraikan dalam The Malaysia Book of Records kerana menanam sebanyak 5,017 pokok dalam masa 24 jam.
Program anjuran bersama Yayasan TM dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) ini juga menyokong inisiatif Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin memuji inisiatif yang diambil bagi menjayakan program itu yang boleh mengharumkan nama negara atas usaha memulihara hutan dan alam sekitar.
“Kita memilih spesies Gutta Percha atau pokok nyatoh taban merah yang pada suatu ketika dahulu amat berharga kepada kerajaan British, disebabkan oleh statusnya sebagai warisan alam yang penting di Malaysia,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Program Warisan Dunia Gutta Percha di Taman Botani Putrajaya, di sini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Rosli Isa.
Gutta Percha adalah sejenis tumbuhan jenis kayu keras ringan yang sesuai untuk penghasilan hiasan dalaman dan panel, daunnya berwarna hijau kekuningan atau berkarat dengan urat-urat daun berwarna tembaga, manakala bunga berwarna putih bersaiz kecil.
Pada tahun 1845, pokok itu diambil daripada Tanah Melayu untuk dijadikan komponen kabel dasar laut yang pertama kerana memiliki sifat-sifat penebat elektrik.
Gutta bermaksud getah dalam bahasa Melayu, manakala Percha adalah nama pokok terbabit. Ia tergolong dalam kumpulan balak saiz sederhana yang dapat mencecah ketinggian 35 meter, boleh dijumpai di hutan tanah pamah di Semenanjung, Singapura, Sumatera dan Borneo.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan TM, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud berkata penanaman pokok berkenaan adalah simbolik usaha pelbagai pihak melindungi dan menghargai khazanah semula jadi negara.
“Kita menghargai peranan uniknya (Gutta Percha) dalam menghubungkan masyarakat di seluruh dunia.
“Daripada kurang dikenali di negara ini, spesies ini berjaya mengubah cara komunikasi kita. Kini ia menjadi tanggungjawab kita untuk melindunginya untuk generasi akan datang,” katanya.
Di UKM, 100 batang pokok ditanam dengan penglibatan seramai 20 sukarelawan yang merupakan mahasiswa UKM. Selain itu, enam pusat tanggungjawab juga terlibat dalam program ini iaitu Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Jabatan Pembangunan Prasarana(JPP), Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Pusat Pengurusan Penjanaan (JANA UKM), dan Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP).