UKM Tandatangani MoU dengan KPMG, Teroka Program Ambassador KPMG
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 16 Mac 2021 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Klynveld Peat Marwick Goerdeler (KPMG) bagi meneroka kerjasama dalam pembangunan program akademik dan penyelidikan serta penyediaan pelajar untuk memasuki alam pekerjaan seperti program latihan industri dan program Ambassador KPMG.
Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah berkata UKM amat berbangga dapat bekerjasama dengan (KPMG) yang merupakan syarikat jaringan global firma-firma profesional yang menawarkan perkhidmatan nasihat, audit dan percukaian, dan sebagai salah satu dari The Big Four di Malaysia.
“Sejak tahun 2020, selain terlibat dengan siri webinar yang dianjurkan oleh KPMG Academy, pelajar UKM juga turut dilibatkan dengan program KPMG Ambassadorship.
“Latihan-latihan sebegini sebenarnya amat penting kepada pelajar untuk mendapatkan maklumat dan pendedahan kepada kepentingan ilmu berkaitan audit dan percukaian, dan juga kaedah analisis data yang canggih serta bagaimana menguruskan projek dalam komuniti melalui aktiviti CSR,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani MoU antara UKM dengan KPMG baru-baru ini.
Selai itu, katanya, KPMG juga telah menerima pelajar UKM untuk membuat latihan industri di KPMG, malah ada yang terus ditawarkan berkhidmat selepas menamatkan latihan industry di syarikat itu.
“Dengan kewibawaan KPMG, para penyelidik dan pelajar di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) bertuah kerana dapat menjalin kerjasama dalam memperkasakan aspek penyelidikan, konsultasi serta pembelajaran dan pengajaran.
“Pelbagai peluang yang ditawarkan melalui kerjasama ini diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh para penyelidik dan pelajar UKM untuk menimba pengalaman bersama KPMG. Semoga kerjsama ini juga dapat membantu UKM dalam memainkan peranan untuk membantu menyelesaikan permasalahan dalam komuniti, pasaran ekonomi dan penjanaan kewangan dalam jangka Panjang,” katanya.
MoU itu akan dapat mencapai matlamatnya dengan disokong oleh kekuatan program-program pengajian yang ditawarkan oleh FEP iaitu Pengurusan Perniagaan, Ekonomi, Perakaunan, dan Keusahawanan dan Inovasi. FEP juga telah melaksanakan penyelidikan dalam bidang pemasaran digital, data mining, perbankan digital, Iot, blockchain, green accounting dan sebagainya.
UKM amat memerlukan jaringan kerjasama dengan pelbagai rakan strategik dan pemegang taruh dari industri, agensi kerajaan, badan bukan-kerajaan dari dalam dan luar negara serta komuniti secara umum.