UKM Tawar Kursus Citra-Patriot Untuk Pelajar
Oleh Radzuan Ghazali
Foto : Muhamad Izwan Azman
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Kolej Buhanuddin Helmi (KBH) bekerjasama dengan Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM) dalam melaksanakan aktiviti berbentuk kemahasiswaaan yang memberikan manfaaat kepada kedua belah pihak.
Kerjasama ini temeterai dengan Memorandum Perjanjian Kerjasama (MOA) antara UKM dengan YPNM yang diadakan pada 25 Mei baru-baru ini di Bilik Senat, Bangunan Pentadbiran, UKM Bangi.
UKM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal manakala YPNM oleh Pengerusinya, Brigadier Jeneral (B) Datuk Husainy Hashim sambil disaksikan oleh Pengetua KBH, Dr Muhammad Rahimi Yusop dan Pengarah Kreatif YPNM, Mohd Rizal Abbas.
Kerjasama yang telah bermula sejak 1 Mac lalu memfokuskan kepada penganjuran, pengurusan dan pelaksanaan secara bersama dalam menyediakan urus setia termasuk staf dan pelajar UKM dalam pelaksanaan sesuatu program.
Terdahulu, Prof Datuk Noor Aziah dalam ucapannya berkata, kerjasama berkenaan adalah langkah yang bertepatan dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk meningkatkan indeks patriotism di kalangan mahasiswa.
Menurut beliau, kerjasama ini melibatkan penawaran Kursus Citra-Patriot dan kerjasama penganjuran Kursus Mahasiswa tahun 2 kepada mahasiswa UKM.
“Kursus berkenaan adalah unik kerana YPNM menyediakan platform kepada siswa-siswi untuk menjalankan aktiviti kesukarelaan berkonsepkan patriotik sekaligus menerap dan melahirkan siswa-siswi yang prihatin dan cintakan negara.
“Saya percaya pendekatan ini bukan sahaja memberikan pendedahan yang berimpak tinggi malah nilai semangat tinggi siswa-siswi UKM akan terus disemai sepanjang masa dan ia dapat disebarluaskan kepada semua siswa-siswi”, kata beliau.
Sementara itu, Datuk Husainy dalam ucapannya berkata, teras utama MoA ini akan digunakan sepenuhnya bagi memenuhi keperluan perkembangan ilmiah di peringkat pengajian tinggi.
Segala kerjasama dapat menyumbangkan misi UKM untuk meningkatkan kualiti pelajar dan tenaga akademik dari semasa ke semasa serta kerjasama dalam bidang-bidang lain, ujar beliau.