UKM Tawar Program Pendidikan Terbuka dan Jarak Jauh
Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 8 MAC 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional (UKMShape) menawarkan program Open and Distance Learning (ODL) atau Pendidikan Terbuka dan Jarak Jauh, seiring dengan permintaan yang tinggi bagi pembelajaran dalam talian.
Pengarah UKMShape, Profesor Datuk Dr. Muhammad Hussin berkata program tersebut selari dengan misinya bagi memperkasa pembelajaran sepanjang hayat yang berkualiti melalui mod pembelajaran yang fleksibel, berinovasi dan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
“Berteraskan pembelajaran fleksibel, program ODL UKM dikendalikan sepenuhnya dalam talian melalui Virtual Interactive Platform (VIP) iaitu platform e-pembelajaran yang dibangunkan khusus untuk menyokong pembelajaran kendiri pelajar ODL.
“Program ODL bukan sahaja merupakan alternatif terbaik ketika pandemik malah sering dikaitkan dengan disruptive innovation in education kerana program ODL lebih cenderung mengintegrasikan teknologi bagi membuka akses pendidikan dan menyediakan pembelajaran fleksibel.
“Berbeza dengan program konvensional yang dilaksanakan dalam talian akibat impak pandemik yang masih bergantung pada kuliah dalam talian yang panjang, pelajar ODL dibekalkan dengan bahan pembelajaran yang komprehensif dengan aktiviti latihan pengukuhan membolehkan pelajar melaksanakan pembelajaran mengikut kesesuaian masa masing-masing.
“Pelajar berinteraksi secara dalam talian dengan rakan sekuliah dan pensyarah melalui forum dan diberikan bimbingan berterusan melalui sesi tutorial segerak (synchronous),” beliau berkata ketika Majlis Pelancaran Program ODL UKM disini, hari ini.
Program tersebut dilancarkan oleh Naib Canselor UKM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman.
Beliau berkata melalui penawaran program ODL, peluang pendidikan kini boleh dicapai oleh semua tanpa risau akan halangan dan kekangan masa, tempat serta komitmen yang sedia ada.
“Sebagai contoh, pelajar antarabangsa yang bekerja dan tidak dapat datang ke kampus UKM, boleh mengikuti program ODL di negara masing-masing secara dalam talian sepenuhnya, katanya.
Menurutnya, program yang dibangunkan untuk penawaran secara ODL hendaklah terdiri daripada program yang mendapat permintaan yang tinggi di pasaran, bagi mendukung hasrat kerajaan untuk melaksanakan pengajian terbuka ke arah pendemokrasian pendidikan tinggi sekali gus menjamin penjanaan pendapatan kepada Universiti.
Sebagai permulaan, dua program Sarjana iaitu Sarjana Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) dan Sarjana Pendidikan dalam Teknologi Pendidikan akan menerima pengambilan sulung pada semester Mei 2022.
Dianggarkan sebanyak 50 program ODL akan dibangunkan dalam jangka masa 5 tahun ini. Permohonan ke program ODL telah pun dibuka dan maklumat lanjut mengenai ODL UKM boleh diperoleh melalui laman web www.ukmodl.com