UKM Terajui Sistem Pemilihan Pekerja Aeroangkasa Pertama Dunia


Oleh Engku Shariful Azni
Foto oleh Shahiddan Saidi

BANGI, 28 Jun 2018 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institusi Pengajian Etnik (KITA-UKM) menjadi peneraju dalam pemilihan pekerja aeroangkasa pertama di dunia selepas menandatangi Memorandum Perjanjian antara UKM dengan Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC) dan sebuah syarikat kejuruteraan di Perancis, PROMETIL S.A.R.L (PROMETIL).

Perjanjian itu diadakan untuk mencipta satu sistem pemilihan pekerja yang mampu memilih pekerja yang mahir, bukan sahaja dalam bidang kejuruteraan, malah mampu mengatasi masalah bahasa.

Pengarah KITA-UKM, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata projek tersebut adalah pertama kali diperkenalkan di dunia, iaitu menyediakan sumber manusia yang sesuai untuk bekerja dalam bidang aeroangkasa.

Katanya, masalah pertembungan bahasa adalah perkara biasa yang akan timbul kerana pekerja tidak dilatih untuk memahami terma-terma yang digunakan dalam prosedur kerja kerana kebanyakannya datang dari luar negara.

“Masalah pertembungan bahasa akan berlaku kerana terdapat perbezaan makna yang diterjemah oleh pekerja dan menyebabkan terjadinya salah faham.

“Kami yakin projek ini akan berjaya dengan adanya penglibatan daripada pakar kejuruteraan, sains sosial, pentadbir dan linguistik,” jelas beliau.

Calon yang ingin bekerja dalam bidang aeroangkasa akan melalui beberapa fasa ujian, termasuklah ujian personaliti dan ujian daya fikir secara kritikal.

Menurut Ketua Pegawa Eksekutif AMIC, Dr. Liew Kan-Ern, sebuah perisian bahasa akan dicipta untuk menyelaraskan penggunaan terma supaya pekerja yang mempunyai latar bidang yang berbeza boleh memahami terma yang digunakan.

Katanya, penggunaan teknologi mesin canggih dan sumber manusia perlu bergerak seiring kerana Malaysia masih berada dalam Industri 2.0.

“Revolusi Industri 4.0 tidak semestinya melibatkan mesin yang canggih, sebaliknya ia perlu diseimbangkan dengan tenaga kerja yang mampu mengendalikannya.

“Melalui projek ini, kami berharap dapat melahirkan pekerja dari Malaysia khususnya, yang mampu bekerja dalam bidang aeroangkasa, dan dalam masa yang sama mampu menaikkan nama Malaysia dalam bidang tersebut,” katanya.

Sementara itu, Kaunselor Kebudayaan Kedutaan Perancis di Malaysia, Dr. Roland Husson berkata pihaknya tertarik dengan projek itu dan yakin dengan kepakaran yang ada pada UKM dan AMIC untuk menjayakan projek tersebut.

“Selain daripada dapat memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Perancis, projek ini dilihat akan memberi manfaat bukan sahaja kepada kedua-dua negara, malah kepada seluruh dunia amnya,” jelas beliau.