UKM Terima 76 Unit Peralatan Audiologi Bernilai RM3.14 juta
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
KUALA LUMPUR, 8 Ogos 2016 – Pusat Pengajian Sains Rehabilitasi (PPSR), Fakulti Sains Kesihatan (FSK) telah menerima 76 unit peralatan audiologi yang bernilai RM3.14 juta daripada Yayasan Oticon bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.
Naib Cancelor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata jumlah yang diterima daripada Yayasan Oticon itu termasuklah mesin klinikal yang terbaru dan canggih untuk memberi diagnosis yang paling tepat kepada pesakit pendengaran tanpa mengira umur dan juga mereka yang mengalami pening kepala dan masalah keseimbangan.
“Dengan endowmen itu, UKM mempunyai program audiologi yang mempunyai peralatan kesihatan pendengaran yang lengkap di negara ini,” katanya semasa berucap pada majlis Penyerahan Endowmen daripada Yayasan Oticon di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata di Malaysia, hanya tiga sahaja hospital besar yang mempunyai peralatan untuk membuat penilaian lengkap tentang masalah itu.
Katanya endowmen itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pesakit tetapi juga kepada pelajar.
“Apabila mempunyai persekitaran pembelajaran yang dilengkapi dengan peralatan yang canggih, ia akan meningkatkan kemahiran pelajar dalam mendiagnosis dan menguruskan masalah pendengaran serta masalah yang berkaitan,” jelasnya.
Sementara itu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata dengan penerimaan endowmen itu, program Audiologi UKM telah dimasukkan dalam pembangunan bidang sains kesihatan yang dihormati dan potensinya diperakui di negara ini.
“Saya percaya endowmen daripada Yayasan Oticon untuk program Audiologi UKM mencerminkan hubungan baik antara syarikat dengan universiti ini.
“Saya berharap akan ada lagi kerjasama yang lebih kukuh bagi kedua-dua institusi yang bereputasi tinggi ini,” katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pengerusi Lembaga Pengurusan Universiti, Tan Sri Dr Ibrahim Saad, Pengarah Urusan Oticon South East Asia Doris Ong dan Timbalan-Timbalan Naib Canselor UKM.