UKM Terima Dana RM1 juta dari Yayasan Undang Johol
Oleh Suhaila Shahrul Annuar
Foto Shahiddan Saidi
JOHOL, 11 Mei 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Institut Islam Hadhari menerima sumbangan dana endowmen sebanyak RM1 juta daripada Yayasan Undang Johol bagi memperkasa aspek pendidikan dan pembangunan komuniti masyarakat di kawasan itu.
Inisiatif itu dibuat menerusi pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) UKM dengan Yayasan Undang Johol iaitu sebuah entiti di bawah Undang Luak Johol.
Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, berkata dana endowmen itu antara lain akan dimanfaatkan untuk memperkasa pendidikan anak-anak di Johol melalui inisiatif penganugerahan biasiswa kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
“Selain itu, ia juga dimanfaatkan untuk penyelidikan dalam bidang institusi Luak Johol dan adat pepatih Negeri Sembilan serta pembangunan komuniti masyarakat bagi golongan B40,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan MoA antara UKM dengan Undang Luak Johol dan Yayasan Undang Johol.
MoA antara Institut Islam Hadhari, UKM dengan Yayasan Undang Johol ditandatangani Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan yang mewakili UKM dan Yayasan Undang Johol diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Md Ghazali Md Yasin sambil disaksikan Undang Luak Johol, Yang Teramat Mulia Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato’ Haji Muhammed Abdullah.
Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat), Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UKM, Dr. Mohd Suzureen Md Jamil serta barisan pengurusan tertinggi UKM.
Sementara itu, pada majlis sama, MoU yang dimeterai antara Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UKM dan Undang Luak Johol ditandatangani Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan dan Dato’ Baginda Balai Luak Rasmi Luak Johol, Yang Mulia Haji Sahabudin Ibrahim.
Pemeteraian MoU antara UCTC, UKM dengan Undang Luak Johol bakal menyaksikan usaha
menggerakkan pembangunan Tanah Adat yang banyak terbiar dalam jajahan takluk Undang Luak Johol yang meliputi wilayah Johol, Kepis, Dangi, Selaru, Gemencheh, Pasir Besar, Air Kuning, Gemas, Palong, Jelai, Rompin dan Jeram Padang.
“Projek pembangunan tanah adat Undang Luak Johol yang terbiar ini bakal membantu membangunkan sosioekonomi golongan sasar di desa secara lestari berasaskan ilmu.
“Projek Pembangunan Tanah Adat Undang Luak Johol merupakan salah satu inisiatif transformasi oleh enam fakulti di UKM dengan penyelarasan bersama Pusat Transformasi Komuniti Universiti, UKM.
“Ia bakal memacu inovasi sosioekonomi golongan sasar secara lestari berasaskan pemindahan ilmu dan penglibatan aktif masyarakat. Fokus utama kami adalah untuk membantu meningkatkan taraf ekonomi masyarakat Johol menerusi usaha menarik lebih ramai pelabur pasca pandemik Covid-19 yang berminat membangunkan kawasan tanah adat terbiar berkenaan.
“Kami akan menggunakan kepakaran sedia ada membantu pemilik tanah adat terbiar ini untuk kita bangunkan dengan projek ekonomi tanpa memusnahkan ekosistem kawasan tanah berkenaan,” katanya.