UKM Terima RM250,000 dari ExxonMobil untuk Program STEM


Oleh Asmahanim Amir
Foto Abd Raai Osman

KUALA TERENGGANU, 2 Ogos 2017 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), melalui Fakulti Pendididkan (FPend), menerima dana sebanyak RM250,000 daripada ExxonMobil bagi melatih 64 guru di Terengganu.

64 guru tersebut adalah daripada sekolah rendah dan menengah yang dipilih menjadi jurulatih utama program STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) untuk memperkasakan pengajaran subjek sains dan matematik dalam darjah melalui penggunaan pendekatan sains bersepadu.

Pendekatan bersepadu merujuk kepada integrasi elemen-elemen STEM dalam pengajaran, pembelajaran berasaskan inkuiri dan penghasilan hipotesis melalui orientasi projek.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata sumbangan itu menunjukkan adanya hubungan penyelidikan yang erat antara universiti dan industri.

“Untuk fasa pertama ,yang dijangka akan bermula pada September ini, pakar-pakar UKM akan ke Terengganu untuk memberi latihan melalui program training of trainers (ToT).

“Kemudian, pada fasa kedua pula, guru-guru akan melaksanakan program STEM diperingkat daerah,” katanya selepas majlis Penyampaian Sumbangan ExxonMobil untuk Program-program Pendidikan dan kemasyarakatan Negeri Terengganu 2017, baru-baru ini.

Pensyarah Kanan FPend UKM, Dr Mohamad Sattar Rasul berkata mereka menggunakan rangka kerja dari Bitara UKM untuk melatih guru-guru tersebut.

“Kerangka tersebut adalah hasil daripada kolaborasi bersama New York Academy of Sciences (NYAS),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Subsidiari ExxonMobil di Malaysia, Edward Graham, berkata sumbangan yang diberikan itu adalah bagi menyokong inisiatif STEM dan Bahasa Inggeris yang disasarkan kepada pelajar dan guru.

“Kajian dalam bidang pendidikan mendapati bahawa guru adalah faktor utama dalam mempengaruhi kejayaan seseorang pelajar,” katanya.

Beliau berkata matlamat program itu adalah untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik lebih efektif, menarik dan releven.