UKM Terima Wang Zakat dari Bank Rakyat Berjumlah RM30,000
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 20 Ogos 2021 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima sumbangan zakat berjumlah RM30,000 daripada Bank Rakyat bagi membantu pelajar UKM yang memerlukan teruatamanya dari golongan asnaf atau miskin.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dato’ Ir. Dr. Othman A Karim berkata sumbangan zakat yang diterima itu akan diagihkan kepada pelajar mengikut keperluan.
“Kita tidak akan beri dalam bentuk duit semata-mata, tetapi kita akan melihat keperluan pelajar tersebut. Dalam era pandemik ini, pelajar masih lagi menghadiri kelas secara dalam talian. Jadi keperluan seperti gajet dan data internet adalah sangat penting,” katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Bank Rakyat untuk sama-sama membantu mengurangkan beban khususnya pelajar-pelajar yang datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan.
“Memang banyak keperluan dari segi gajet dan data internet. Jadi, kita akan cuba bantu semua pelajar yang memerlukan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Cawangan Bank Rakyat Kajang, Jaapar Mahad berkata sumbangan zakat itu adalah bagi tahun 2020 dan pihak bank telah putuskan untuk membantu pelajar-pelajar miskin yang beragama Islam.
“Kita serahkan kepada pihak UKM untuk membuat pengagihan kepada pelajar-pelajar yang layak,” katanya.
Replika cek tersebut telah diserahkan oleh Ketua Wilayah Selangor, Bank Rakyat, Encik Abdul Yazid Yaacob kepada Prof. Dato’ Ir. Dr. Othman.