UKM Terkehadapan Dalam Penyelidikan Pematuhan Syariah Bagi Pendidikan
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi
PUTRAJAYA, 8 September 2015 – UKM sedang menyelidik sistem pendidikan negara bagi menentukan sama ada ia mematuhi sepenuhnya konsep Syariah seperti termaktub pada Indeks Syariah Malaysia (ISM).
Dekan Fakulti Pengajian Islam Prof Dr Wan Ahmad Kamal Mujani berkata para penyelidik UKM mulakan kajian tersebut bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum diwujudkan perjanjian rasmi kerana JAKIM yakin dengan kepakaran UKM.
JAKIM menyediakan geran RM90,000 untuk UKM, kata beliau selepas menyaksikan Timbalan Naib Canselor Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Indeks Syariah Malaysia (ISM) bagi penyelidikan tersebut di sini hari ini.
“Kita terkenal dalam bidang pendidikan. Kita siapkan cadangan sebelum MoA ditandatangani lagi. UKM menyelidik semua peringkat pendidikan; sekolah, sekolah menengah, universiti,” beliau menerangkan kepada Portal Berita UKM selepas majlis tandatangan tersebut.
Katanya, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (Myipo) bersetuju menganugerahkan Sijil Hak Cipta ISM kepada JAKIM bagi memastikan ISM mempunyai nilai perintis serta mendapat pengiktirafan nasional dan antarabangsa.
“Kita mula sebelum bulan Puasa, pada bulan April, Jun dijalankan. UKM di antara yang ‘advanced’. Kita dah siap pakar rintis. Kita buat sampling dengan JAKIM. Kalau JAKIM buat seminar dengan sekolah kita boleh edar questionnaire. Disember nanti siap. Perdana Menteri akan tengok pada tengah Januari, dan pada bulan Februari Insya’Allah boleh buat ‘Intellectual Property’ 2 in 1, sedia untuk pihak taja kita”, katanya.
Apabila ditanya mengenai hasil penemuan kajian UKM setakat ini Prof Wan Kamal menjawab bahawa hasil awal menunjukkan sistem pendidikan negara mematuhi lapan sektor utama pengurusan negara bagi ISM.
Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir melahirkan keyakinan terhadap universiti tempatan untuk menilai dan mengukur program dan dasar pentadbiran melalui ISM berdasarkan prinsip-prinsip Maqasid Syariah.
Datuk Seri Jamil berkata perjanjian tersebut membolehkan lima universiti awam yang terpilih menjalankan penilaian dan penyelidikan mengenai lapan sektor utama, iaitu undang-undang, ekonomi, kesihatan, pendidikan, politik, budaya, alam sekitar dan infrastruktur dan sosial.
Selain UKM, universiti-universiti yang turut menandatangani MoA ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Mara (UTM).
“Kami berharap bahawa pencapaian yang menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020 tidak akan dapat dilihat hanya dari aspek pembangunan, tetapi harus seimbang dengan pelaksanaan Indeks Syariah,” kata menteri selepas MyIPO menyampaikan Sijil Hak Cipta ISM kepada JAKIM.
“Jika kita tidak bersedia, maka bagaimana kita boleh meminta penilaian dan penyelidikan dibuat ke atas pentadbiran kerajaan, apatah lagi melibatkan lapan sektor utama pengurusan negara,” tambah beliau.