UKM Terus Aktif Menyokong Komuniti Akademik ASEAN


Oleh  Nadia Sapuan
Foto Abd Raai Osman

BANGI, 26 April 2017 – Sebagai sebuah universiti penyelidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus melibatkan diri dalam program atau inisiatif yang melibatkan ASEAN sebagai satu bentuk sokongan terhadap keterbukaan dan interaksi komuniti akademik ASEAN.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah berkata UKM akan terus melibatkan diri dalam pelbagai inisiatif ASEAN melalui perundingan, kerjasama penyelidikan, pertukaran pelajar dan projek-projek khusus yang berkaitan dengan integrasi serantau.

“UKM telah melibatkan diri dengan banyak inisiatif ASEAN dan antaranya adalah daripada aspek program pertukaran pelajar antara UKM dan negara ASEAN.

“Di samping itu, kita juga turut memiliki ramai pelajar pasca siswazah yang rata-ratanya berasal dari beberapa negara ASEAN,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Seminar Ke-6 International Conference On Social Science and Humanities (ICOSH-UKM 2017), baru ini.

Beliau menambah seminar yang bertaraf antarabangsa itu boleh menjadi sebuah platform untuk perbincangan mengenai isu-isu dalam dan luar negara.

“Bermula pada awal kemunculannya, ICOSH semakin berkembang dan kini ia menjadi sebuah forum yang berkredibiliti dan boleh dipercayai dalam berkongsi pengetahuan tentang  semua bidang sains sosial dan kemanusiaan di negara ini termasuk di seluruh ASEAN,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi ICOSH-UKM 2017, Prof Madya Dr D Ravichandran berkata seminar itu bertujuan membawa ahli akademik untuk bersama-sama membincangkan penemuan terkini mengenai hasil penyelidikan mereka di samping membawa kerjasama untuk penyelidikan pada  masa hadapan.

Beliau berkata seminar yang diadakan itu telah menarik minat seramai 200 peserta yang berlatarbelakang akademik berbeza seperti psikologi, sejarah, komunikasi dan antropologi.

Seminar yang berlangsung sebanyak sekali setiap dua tahun itu mengambil tema Regionalism and Community Building in ASEAN : Perspectives from Social Sciences and Humanities.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, merangkap Dekan FSSK, Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman.