UKM Teruskan Kerjasama dengan DNA Sdn. Bhd.


Oleh Izzul Aniq
Foto oleh Ikhwan Hashim

BANGI, 5 Julai 2018 – Dr. Nik & Associates (DNA) Sdn. Bhd. meneruskan penajaan jawatan Profesor Kelestarian Alam Sekitar Wan Fatimah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk setahun lagi kepada Pengarah Institut Perubahan Iklim, Prof Dato’ Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah.

Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, penerusan penajaan itu menunjukkan keyakinan DNA Sdn. Bhd. kepada UKM sebagai rakan kongsi strategik.

“Melalui penajaan ini, UKM akan menjalankan penyelidikan dan rundingan untuk projek berkaitan isu alam sekitar terutamanya yang berkaitan dengan isu zon pesisir pantai.

“Kami berbangga menjadi rakan strategik dengan pasukan (institusi) yang berprestasi ini. Kami tidak sabar untuk melihat pencapaian kerjasama ini pada masa hadapan terutamanya pada tahun 2020, apabila UKM genap 50 tahun. Adalah penting bagi UKM untuk meningkatkan pencapaian untuk menjadikan UKM lebih unik,” katanya ketika berucap di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UKM dan DNA Sdn. Bhd di Institut Perubahan Iklim (IPI), baru-baru ini.

Beliau berkata, UKM bertanggungjawab untuk menyelia dan melatih DNA Sdn. Bhd. dalam pelbagai projek seperti membantu DNA Sdn. Bhd. dengan tugas luar pelanggan, membantu dalam menghasilkan data alam sekitar secara berterusan dan mengawal selia kerja SRS dan penilaian impak sosial untuk nelayan dan penduduk sekitar.

Sementara itu, Pengarah DNA Sdn. Bhd., Dato’ Ir. Dr. Nik Mohd. Kamel Nik Hassan menyatakan misi beliau untuk memberi kesan positif kepada alam sekitar melalui kerjasama yang berterusan itu.

“Ini adalah selaras dengan misi Perdana Menteri yang baharu, iaitu untuk merapatkan jurang antara sektor kerajaan dan sektor swasta.

“Saya harap kerjasama ini akan terus berjaya. DNA Sdn. Bhd. mungkin sebuah nama yang kecil, tetapi ia sudah tentu besar di dalam hati UKM,” kata Dato’ Ir. Dr. Nik Mohd. Kamel Nik Hassan.

Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah, Pro-Naib Canselor, Penjanaan dan Prasarana, Prof. Dato’ Dr. Nor Ghani Md. Nor dan Pengurus Jabatan Alam Sekitar DNA , Rosniza Ramli.