UKM Tuan Rumah Himpunan Penulis Malaysia


Oleh Muhammad Zaim Badrul Hisham
Foto oleh Ikhwan Hashim

BANGI, 19 November 2018 – Lebih 300 orang penulis seluruh Malaysia berhimpun di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menghadiri Himpunan Penulis Malaysia, baru-baru ini.

Program yang bertemakan Persuratan dan Peradaban: Jalan ke Hadapan itu adalah program anjuran bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), UKM, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Perbadanan Kota Buku (PKB) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

Menurut penganjur, tema tersebut dipilih bertepatan dengan nuasa semasa yang memberi impak besar kepada persuratan sebagai pemangkin intelektual anak bangsa kerana sejak berkurun lamanya, persuratan merupakan elemen utama terhadap pembentukan peradaban anak bangsa.

Program yang berlangsung seharian itu, dimulai dengan Ucaptama oleh Sasterawan Negara Dato’ Baharuddin Zainal, diikuti dengan forum bersama lima Sasterawan Negara yang lain, iaitu Datuk Seri (Dr.) A. Samad Said, Profesor Emeritus Dr. Muhammad Salleh, Datuk Dr Anwar Ridhwan, Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah dan Datuk Dr  Zurinah Hassan.

Pada sebelah petang pula, program diteruskan dengan perbincangan dan wacana berkaitan dua topik penting dalam perkembangan kesusasteraan, iaitu Tidak Perlu Penulis Wanita dan Sastera Malaysia: Pemikiran Baharu yang dihuraikan oleh ahli panel Azmah Nordin, Profesor Madya Dr. Mawar Safei, Raiha Bahaudin dan Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman serta Gina Tap Lai Yoong, Dr. Fahd Razy, Azalan Hussain dan Jaya Ramba.

Kemuncak program berlangsung pada sebelah malam, menyaksikan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berdialog bersama penulis bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan sastera dan persuratan.

Program diakhiri dengan Malam Deklamasi Puisi yang menampilkan semua Sasterawan Negara, Prof. Dr. Mohamed Hatta Shaharom, Dr. Siti Zainon Ismail, Dr. Lim Swee Tin, Zaen Kasturi, Dinsman, Pyanhabib, Yassin Salleh, Dato’ Aripin Said, Shukri Abdullah, Raihani Mohd Saaid, Aloy Paradoks, Roslan Madun, Shafa’atussara Silahudin, Sani Sudin, Saidin Omar, ARTISUKMA UKM dan USIM Buskers.