UKM Tuan Rumah Latihan Sukarelawan Temasya Kuala Lumpur 2017


Oleh : Nastura Nasir
Pix: Shahiddan Saidi

BANGI, 27 Februari 2017 – Universiti kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi tuan rumah bagi latihan dan kursus sukarelawan Temasya Kuala Lumpur 2017  yang merangkumi aspek pengetahuan Asia Tenggara, keterampilan dan kemahiran penyelesaian masalah.

Menteri Belia dan Sukan, Brig. Jen Khairy Jamaludin Abu Bakar hadir membuat lawatan dan mengikuti sama latihan tersebut di UKM, baru-baru ini.

Brig. Jen Khairy berkata, pihaknya menerima lebih daripada 27,000 permohonan namun hanya 13,000 yang dipilih sebagai sukarelawan untuk penganjuran kali ini.

“Dengan komitmen semua pihak terutama barisan sukarelawan, kita akan buktikan Malaysia mampu menjadi tuan rumah terbaik, mengatasi penganjuran edisi

sebelum ini,” katanya sewaktu sesi sidang media di UKM.

Pasukan yang dikenali sebagai ‘Wau Factor’ itu akan berada di barisan hadapan temasya itu nanti dan tindak-tanduk mereka bakal menjadi cermin utama imej negara.

Menurut beliau, latihan sukarelawan terbahagi kepada dua fasa iaitu Latihan Umum dan Latihan Spesifik. Latihan Umum merangkumi tujuh modul latihan bermula 28 Disember lalu hingga 25 Mac depan. Latihan Spesifikasi pula, adalah latihan merujuk kepada 16 bidang tugasan sukarelawan yang akan dijalankan pada bulan April hingga Julai ini.

Katanya lagi, kini permohonan untuk menjadi sukarelawan turut dibuka kepada golongan warga emas seperti pesara kerajaan bagi menjadi pembimbing kepada sukarelawan muda.

Sukarelawan Sukan SEA Kuala Lumpur dan Sukan Para ASEAN akan diberikan makan dan minum, pakaian rasmi, skim insurans berkelompok dan sijil penghargaan.

Hadir sama, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar, Naib Canselor UKM Prof. Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali dan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Prof. Dr Mohd Ikhwan Toriman.