UKM Tuan Rumah SUKIPT 2018
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 14 Dis 2017 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dipilih menjadi tuan rumah Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2018 yang akan berlangsung pada 2 hingga 10 Februari 2018.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching berkata SUKIPT adalah salah satu medan pemilihan atlet yang akan mewakili negara ke sukan Universiti ASEAN 2018 di Myanmar dan World University Championship (WUC) 2018 di Kuala Lumpur.
“Melalui kejohanan ini (SUKIPT) kementerian ingin melihat lebih ramai wira-wira sukan negara dilahirkan.
“SUKIPT akan dilihat berjaya sekiranya muncul muka-muka baru yang layak mewakili negara ke pentas yang lebih tinggi,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian SUKIPT 2018 di sini hari ini.
Beliau berkata SUKIPT perlu sentiasa relevan sebagai agen yang membantu membekalkan atlet yang akan meneruskan momentum kecemerlangan sukan negara di pentas antarabangsa.
“Buat julung kalinya kita juga akan menerima penyertaan dari India untuk acara kriket. SUKIPT edisi keempat ini juga meneruskan penglibatan IPT dari Negara Asia Tenggara iaitu Thailand, Singapura dan Indonesia,” ujarnya.
Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata UKM telah bersedia dalam semua aspek bagi memastikan SUKIPT 2018 berjalan lancar.
Lebih 6,300 atlet daripada 93 kontinjen bakal berentap bagi merebut 238 pingat emas, 238 pingat perak dan 399 pingat gangsa.
Kejohanan dwi tahunan itu bakal mempertandingkan 27 acara melibatkan 29 lokasi pertandingan.