UKM Tubuh Anjung Santai UKM4BANGI Galak Pembudayaan Ilmu


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 9 Mei 2017 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) telah menubuhkan Anjung Santai UKM4BANGI di Pasaraya KipMall bagi menggalakkan pembudayaan ilmu secara santai di pusat membeli-belah.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah berkata projek Anjung Santai UKM4BANGI itu diwujudkan untuk memberi manfaat kepada penduduk setempat dalam menggalakkan budaya membaca di pusat membeli belah disekitar Bangi.

“Di samping menyediakan ruang bacaan santai untuk pengunjung pusat membeli belah, objektif projek ini juga adalah untuk menggalakkan budaya cintakan ilmu melalui pembacaan dan lain-lain medium pembelajaran.

“Saya berharap projek ini dapat mendekatkan UKM dengan masyarakat setempat melalui sumbangan pelbagai kepakaran yang ada di UKM,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian program tersebut.

Katanya projek itu adalah perkongsian pintar antara UKM melalui UCTC dan Perpustakaan Tun Seri Lanang dengan KipMall, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor dan penerbit-penerbit buku.

“Semoga kerjasama yang diberikan ini akan berterusan  dan dapat diperluaskan lagi dalam pelbagai bidang yang akan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.