UKM Umum Penajaan Pengajian Sarjana kepada Tiga Atlet Olimpik Tokyo 2020


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 14 September 2021 – Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB) mengumumkan tajaan kepada tiga atlet Olimpik Tokyo 2020 yang terpilih untuk meneruskan pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di UKM.

UKM-GSB akan bekerjasama dengan Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet (MACE) untuk mengenal pasti atlet berpotensi meneruskan pengajian ke peringkat sarjana dan seterusnya menjayakan hasrat pembelajaran sepanjang hayat.

Tajaan tersebut diumumkan oleh Dekan UKM-GSB, Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul semasa Forum Kebangsaan yang bertajuk “Misi Emas: Antara Minda, Tekad dan Daya” baru-baru ini.

Beliau berkata kejayaan atlet negara dalam kejohanan Olimpik 2020 telah memberi inspirasi kepada UKM-GSB dalam menawarkan tajaan tersebut.

“Penajaan ini melambangkan sokongan UKM-GSB dalam pembangunan universiti watan yang berteraskan prinsip mengilhamkan harapan dan berusaha tanpa jemu mencipta masa hadapan yang lebih cemerlang,” katanya.

Forum tersebut turut menampilkan tiga atlet kebangsaan yang telah mewakili Malaysia ke Temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 iaitu Datuk Azizulhasni Awang, Farah Ann Abdul Hadi, Cheah Liek Hou sebagai panel jemputan.

Forum anjuran UKM-GSB dengan kerjasama MACE serta Majlis Sukan Negara (MSN) tersebut menjadi titik permulaan kerjasama strategik antara UKM-GSB dengan MACE untuk terus bersama-sama mencapai matlamat pembangunan atlet kebangsaan berkualiti tinggi melalui usaha pendidikan.

Selain itu, forum ini diadakan bagi meraikan semangat rakyat Malaysia dengan kejayaan atlet yang berjaya membawa pulang kemenangan di Acara Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 yang membanggakan seluruh rakyat negara.

Ketiga-tiga panel berkongsi strategi yang digunakan oleh atlet dalam setiap cabaran kejohanan yang dilalui. Mereka menekankan kepentingan penguasaan minda serta corak pemikiran yang positif untuk mendapat hasil yang ingin dicapai.

Forum tersebut turut membincangkan cabaran yang dihadapi oleh atlet negara ketika persediaan dan latihan mereka tergendala disaat negara dan seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19.

Forum Kebangsaan yang diadakan secara dalam talian tersebut dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad, Ketua Setiausaha, Kementerian Belia dan Sukan, Datuk M. Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah MSN, Dato’ Ahmad Shapawi Ismail.