UKM Universiti Pertama Jalin Kerjasama dengan Bank Dunia


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 21 Februari 2017 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi Universiti Awam pertama yang menjalinkan kerjasama dengan World Bank Group Global Knowledge and Research Hub in Malaysia bagi menjalankan penyelidikan melalui program latihan industri.

Program latihan industri tersebut adalah program rintis yang akan ditawarkan kepada dua pelajar pasca siswazah di universiti ini.

Naib Canselor, Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata sebuah panel daripada UKM dan Bank Dunia akan ditubuhkan untuk memilih calon yang paling layak menyertai program itu.

“Mereka yang terpilih akan memulakan latihan industri bermula April depan berdasarkan pencapaian akademik, profesional serta kepemimpinan masing­-masing,” katanya selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Felo Diraja dan Pelancaran Program Seanet dan UKM-World Bank Group Research team Intern Pilot di sini baru-baru ini.

Katanya penyelidikan yang akan dijalankan adalah meliputi aspek ekonomi seperti kewangan, pertumbuhan ekonomi, pengurangan tahap kemiskinan, perlindungan sosial dan buruh.

“Saya berharap agar program ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak kerana ia bukanlah latihan industri biasa, tetapi ia membabitkan penyelidikan yang dijalankan bersama,” jelasnya.

Beliau berkata program latihan industri penyelidikan itu akan dikendalikan oleh kedua-dua pihak dan UKM akan diterajui oleh Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS).

Pada majlis itu, Prof Dato’ Seri Noor Azlan menandatangani MoU tersebut mewakili UKM manakala World Bank Group Global Knowledge and Research Hub in Malaysia diwakili oleh Pengurusnya, Faris Hadad-Zervos, dan disaksikan oleh Felo DiRaja UKM Tunku Zain Al-Abidin Ibni Tuanku Muhriz.