UKM-UST Rangka Program Dual Degree


Oleh Muhammad Fikri Abdullah
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 3 Jun 2019 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bekerjasama dalam merangka program pengajian Ijazah Berkembar (Dual Degree)  bersama Universiti System of Taiwan (UST) untuk meningkatkan kualiti graduan.

Kerjasama tersebut adalah melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang turut mengetengahkan beberapa aktiviti bersama termasuklah penganjuran aktiviti akademik, program jangkauan bersama (joint outreach programme) untuk pelajar berpotensi dan pertukaran pelajar dan tenaga pengajar.

Naib Canselor UKM, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, MoU yang ditandatangani tersebut adalah sebagai penyertaan UKM dalam Asia Strategic Alliance for Global Young Talents dan Professional Initiative.

“Kami memuji inisiatif ini dalam mewujudkan jaringan bersama untuk membangunkan modal insan yang berkualiti untuk negara.

“Saya yakin bahawa melalui usaha dan komitmen ini, kita akan dapat mencapai lebih banyak manfaat dan mengeratkan lagi kerjasama antara kedua-dua universiti dengan lebih baik,” katanya semasa Majlis Menandatangani MoU antara UKM dan UST.

Sementara itu, Canselor UST, Prof Ovid Tzeng berkata, kerjasama strategik itu mampu merapatkan hubungan baik antara kedua-dua universiti.

“Kolaborasi ini mampu memberikan kebaikan kita khususnya kepada pelajar dalam membuat Dual Degree dan kami berharap pelbagai kerjasama dapat dilakukan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Pada majlis tersebut, turut diadakan Majlis Pelancaran HICoE IMEN Fasa 2, 2019.

Status Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) diberikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada Institut Penyelidikan di Institusi Pengajian Tinggi yang telah menepati tahap kecemerlangan yang ditetapkan.

Di UKM, dua institusi penyelidikan telah mendapat pengiktirafan tersebut iaitu Institut Perubatan Molekul UKM (UMBI) pada tahun 2009 dan IMEN pada tahun 2014.