UKM-Yayasan Pintar Bantu Pelajar di Kedah Minat Bidang Sains


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

ALOR SETAR – Univesiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Perubahan Iklim (IPI) bersama Yayasan Pintar menjalankan program di beberapa buah sekolah menengah di Kedah bagi memupuk minat pelajar dalam bidang sains dan teknologi.

Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah berkata 13 buah sekolah telah terpilih bagi mengikiuti program Pintar-UKM Sustainability and Green Technology Through IG-Home Module Fasa 1 2017.

“Melalui program ini, pelajar dan guru sekolah perlu memikirkan inovasi yang tebaik bagi menghasilkan projek inovasi rumah lestari.

“Menariknya, peserta bukanlah dari kalangan guru dan pelajar sains sahaja, tetapi sebaliknya merangkumi semua bidang,” katanya pada Majlis Penutup Program Pintar-UKM Sustainability & Green Technology Through IG-Home Module Fasa 1 2017 dan Majlis Menandatangani MoA Antara UKM dan Pintar Foundation di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, bagi mengukuhkan lagi kerjasama tersebut, satu Memorandum Perjanjian (MoA)  antara UKM dan Pintar Foundation telah ditandatangani antara kedua-dua pihak.

“MoA ini juga diharap akan merancakkan lagi bidang-bidang kerjasama yang sedia ada di antara kedua-dua pihak di samping dapat menjana bidang kerjasama yang baru yang boleh memberi impak berguna kepada kesejahteraan hidup generasi sekarang dan yang akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pemegang Amanah Yayasan Pintar, Tan Sri Dato’ Seri Utama Arshad Ayub berkata beliau yakin dengan kepakaran yang ada di UKM dapat membantu para guru memupuk minat pelajar-pelajar sekolah meminati bidang sains.

“Sebagai sebuah universiti penyelidikan, sudah tentu UKM dapat merialisasikan hasrat kita (Yayasan Pintar) dalam melihat pelajar di kawasan luar bandar mendalami ilmu sains.

“Jika kita lihat pelajar (luar bandar), mereka sangat kreatif. Mereka sering melakukan inovasi, tetapi mereka tidak ada bimbingan untuk mengetengahkan inovasi itu.

“Jadi, program IG-Home ini adalah salah satu program yang dapat mengetengahkan bakat yang ada pada pelajar-pelajar tesebut,” jelasnya.

Dalam pertandingan Inovasi Rumah Lestari (IG Home) Fasa 1 2017, projek biogas menggunakan sisa makanan dan najis lembu bagi menghasilkan gas memasak telah mengangkat Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Mohamed Al-Bukhary, Alor Setar memenangi tempat pertama pertandingan tersebut.