Ulama Nusantara Dilancar Di Jakarta
Ulama Nusantara, sebuah dokumentari yang dihasilkan berdasarkan penemuan kajian oleh penyelidik di Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dilancarkan di Indonesia, baru-baru ini.
Pelancaran tersebut telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Forum Ekonomi Islam Sedunia ke-12 di Jakarta.
Ulama Nusantara adalah sebuah dokumentari yang mengupas isu pembangunan Islam di Kepulauan Melayu melalui laluan rempah dan menggambarkan bagaimana mereka berupaya berintergrasi dengan masyarakat setempat melalui pendidikan dan budaya.
Dokumentari 13 episod terbitan Primeworks Studios dengan kerjasam FPI, UKM ini bakal disiarkan di TV3, Malaysia dan MetroTV, Indonesia bermula Oktober ini.
“Data yang dikumpulkan oleh penyelidik FPI adalah amat berharga kerana ia tidak hanya membincangkan pelbagai hipotesis dalam penyebaran agama Islam, malah turut tertumpu kepada kaedah yang digunakan oleh para ulama silam untuk membina kedudukan kukuh di Asia Tenggara.” kata Pengawai Eksekutif Primeworks Studios, Ahmad Izham Omar.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Mazlin Mokhtar berkata, produksi Ulama Nusantara ini adalah selaras dengan inisiatif UKM untuk menyerlahkan kajian penyelidikan yang berkaitan Islam.
“UKM amat mengalu-alukan kolaborasi bersama industri kerana ia adalah cara untuk memastikan dan mewujudkan proses pemindahan ilmu yang mampan,” tambah beliau.
“Kolaborasi bersama Primeworks Studios adalah satu contoh strategik yang bukan sahaja memaparkan barisan kepakaran UKM dalam bidang penyelidikan, bahkan juga sebagai satu cara untuk menyampaikan hasil penyelidikan yang kebiasaannya berbentuk teoritikal dan kompleks, kepada bentuk yang lebih menarik dan mudah difahami oleh masyarakat umum” jelasnya lagi.