Undang-undang Syariah Kaedah Terbaik Salur Maklumat Sahih – TNC HEPA

02
Oleh Asmahanim Amir/ Wan Norsyakila Wan Kamarudin (pelajar PhD)

Foto Wan Norsyakila Wan Kamarudin (pelajar PhD)

BANGI, 9 Dis 2015 – Undang-undang syariah adalah jalan terbaik bagi kefahaman Kenegaraan, Keselamatan dan Peradaban dalam Islam.

Maka undang-undang berasaskan Maqasid Syariah menjadi medan wacana terbaik untuk menyalurkan maklumat tersebut yang sahih dari sumber yang tepat mengenai sesuatu isu, kata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal.

Beliau berkata kaedah tersebut mampu memberikan impak yang besar dalam meningkatkan kepekaan dan kesedaran mahasiswa terhadap tanggungjawab yang perlu dijalankan terhadap negara sebagai generasi muda.

“Dunia masa kini adalah dunia tanpa sempadan. Cabaran utama yang dihadapi sekarang adalah adanya ledakan maklumat di internet.

“Maklumat-maklumat ini sering mengelirukan dan juga diputar belit sehingga menyebabkan generasi muda tidak tahu sumber mana satu yang layak diikuti dan dipercayai,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Program Kenegaraan, Keselamatan dan Peradaban Berteraskan Maqasid Syariah di sini pada 22 November lalu.

Beliau berkata program tersebut diadakan bagi memberikan pendedahan berkenaan dengan aspek kenegaraan, Perlembangaan Persekutuan, keselamatan serta peradaban Melayu di Malaysia.

“Para peserta juga turut didedahkan dengan makna dan tujuan Maqasid Syariah supaya generasi muda dapat memahami dan menghayati hukum-hukum yang perlu dipatuhi sebagai seorang muslim.

“Kesemua isu ini adalah sangat penting untuk difahami oleh generasi muda masa kini dalam persediaan menghadapi cabaran dan ancaman pada masa hadapan,” katanya.

Program Kenegaraan, Keselamatan dan Peradaban Berteraskan Maqasid Syariah telah beberapa kali dianjurkan oleh universiti awam di seluruh negara dan edisi kali ini julung kali diadakan di UKM.

Program yang dianjurkan oleh Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (PSSCMUKM) dan PSSCM dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri turut dihadiri oleh peserta dari universiti lain.

Program satu hari itu telah dipengerusikan oleh wakil dari kedua-dua penganjur iaitu Mohd Hafiz Jamil selaku Setiausaha Agung yang mewakili PSSCM manakala Ketua Penolong Setiausaha Kanan MKN, Shukri Janudin mewakili MKN.

Program tersebut telah menampilkan tiga orang penceramah yang berpengalaman dalam bidang masing-masing iaitu Yang Di-pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Dr Yusri Mohamad, Ketua Pengarah Bahagian Counter Terrorism PDRM, Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay dan Felo Kanan Jabatan Senibina, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM, Dr Mastor Surat.
ukmnewsportal-bm

01

04

03

05