Usahawan Muda Di Gesa Bakti Kepada Masyarakat
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman
BANGI, 29 Mac 2015 – Usahawan muda disaran supaya tidak hanya memikirkan keuntungan, tetapi juga menyumbang kepada masyarakat dan negara.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dato’ Ir. Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat berkata ada banyak cara bagi usahawan yang berjaya menyumbang kepada masyarakat.
Ketika menutup Sidang Kemuncak Usahawan Muda Negara 2015 (NYES 2015) di sini hari ini, Prof Ir Riza Atiq mengingatkan mereka bahawa terdapat satu jaringan yang besar pelbagai orang yang membolehkan kejayaan mereka, seperti keluarga, guru, pelanggan, majikan, pekerja, malahan pembekal.
Sebagai balasan, beliau berkata, mereka perlu menyokong dan memberi caruman kepada rangkaian itu. Pada masa yang sama, mereka harus menjadi mentor dan membantu usahawan yang baru bertapak dalam dunia perniagaan.
Mereka patut menjadi contoh yang baik, supaya mereka dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang muda untuk menyertai mereka sebagai usahawan.
Tidak ada jalan pintas untuk kejayaan usahawan muda bercita-cita tinggi, beliau menjelaskan.
Prof Ir Riza Atiq berkata usahawan muda perlu bekerja keras untuk memperolehi kemajuan dalam dunia perniagaan.
Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa benih keusahawanan harus ditanam awal; mula menerapkan cara pemikiran yang sesuai ketika usia muda.
“Ramai yang sedar bahawa tidak ada ubat mujarab untuk menjadi usahawan yang berjaya. Tetapi apa yang kita boleh lakukan adalah untuk menggalakkan anak-anak muda sejak awal lagi. Kita juga perlu melakukan lebih banyak program di universiti untuk menaikkan semangat keusahawanan dan menyediakan peluang kepada pelajar untuk bereksperimen, berinovasi dan mengembangkan idea mereka sebagai langkah-langkah yang penting untuk membantu kejayaan dalam menjana perniagaan siswazah yang pintar,” jelas beliau.
UKM, katanya, mahu membantu belia mengejar impian keusahawanan mereka dan menubuhkan syarikat mereka sendiri.
Pada masa yang sama syarikat bukan sahaja bermakna keuntungan; ia juga berkaitan dengan matlamat yang lebih luas. Keushawanan bukan hanya baik untuk ekonomi; ia juga merupakan kebaikan sosial.
NYES 2015 adalah satu program intelektual yang bertujuan untuk membawa bersama-sama usahawan muda yang terdiri daripada pelajar dari universiti awam dan swasta untuk berinteraksi.
Ia telah dianjurkan oleh Majlis Eksekutif Pelajar dari kolej kediaman Aminuddin Baki dengan kerjasama Pusat Keusahawanan dan Pembangunan PKS (CESMED) di UKM.
Pada masa kini, kebanyakan usahawan muda adalah pelajar.
Oleh itu, program NYES 2015 menjadi platform kepada usahawan untuk berkumpul dan berinteraksi supaya mereka dapat memperkembangkan idea mereka untuk meningkatkan lagi suasana perniagaan.
Pada sidang kemuncak ini dua pemilik perusahaan bersaiz sederhana atau kecil yang berjaya, Irfan Khairi dan Nazril Idrus menyampaikan ceramah motivasi tentang pengalaman peribadi mereka dalam menjalankan perniagaan sendiri.