Wadah Ketengah Produk Inovasi dan Pengajaran Sempena K-Inovasi UKM 2020


Oleh Mas Aliza Abu

Foto Ikhwan Hashim

5 Februari 2020 – Kongres dan Pertandingan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran (KNnovasi) 2020 anjuran Pusat Pengajaran dan Teknologi Pembelajaran (Pengajaran UKM), Universiti Kebangsaan Malaysia yang berlangsung di Hotel Tenera, Bangi disertai oleh 237 orang peserta daripada pelbagai institusi termasuklah dari warga sekolah, kolej komuniti, politeknik dan juga institusi pengajian tinggi lain adalah wadah untuk mengetengahkan produk inovasi Pengajaran & Pembelajaran (P&P) ke peringkat kebangsaan.

Kongres ke-6 bertemakan Pembelajaran Aktif Futuristik Melangkau 2020 adalah tanda kesungguhan dan komitmen UKM dalam usaha untuk menjulang inovasi P&P sebagai suatu agenda yang penting dalam lanskap pendidikan negara.

Naib Canselor UKM, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor dalam ucapan perasmiannya berkata,  tugas utama seorang pensyarah di Universiti adalah untuk mengajar bagi membolehkan berlakunya pemindahan ilmu pengetahuan di antara guru dan pelajar, namun  beliau merasakan kerja-kerja penyelidikan juga tidak kurang pentingnya supaya kedua-dua elemen penting ini iaitu P&P dan penyelidikan berjalan seiring.

“Cabaran kepada para pensyarah kini adalah berbeza dengan pensyarah pada zaman dahulu. Kini, kita perlu fikirkan bagaimana untuk memastikan para pelajar terus kekal di dalam kelas dan menikmati kuliah tersebut,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau melontarkan cabaran kepada para pendidik untuk menarik minat para pelajar dengan mewujudkan kaedah P&P yang berkesan dan menarik malah beliau menekankan  para pendidik untuk mengambil manfaat dari perkembangan teknologi seperti teknologi 5G dan sebagainya untuk menambahbaik kualiti dalam sistem penyampaian P&P.

Hasrat beliau ini adalah selaras dengan tema yang dipilih selain beliau berkata, hasrat untuk menghasilkan pelajar yang mempunyai kemahiran dalam berkomunikasi, boleh bekerjasama dan tahap keyakinan yang tinggi, jelas beliau.

Hadir sama, Pengarah Pengajaran dan Pembelajaran UKM, Prof Dr Ahmad Kamal Ariffin Mohd Ihsan dan Presiden Universiti Multimedia (MMU), Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Rafi Mohamad Eshaq selaku penyampai ucaptama bertajuk Futuristic Learning in IR 4.0.