Wajah Ceria Terima Sumbangan UKM

1
Oleh  Radzuan Ghazali
Foto  Ikhwan Hashim, Izwan Azman, Shahiddan Saidi

BANGI, 4 Ogos 2016 – Senyuman kegembiraan terukir di 160 wajah anak-anak yatim dan Orang Asal apabila menerima sumbangan duit zakat dari pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sempena Majlis Jamuan Raya Aidilfitri Peringkat UKM 2016 yang telah berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), baru-baru ini.

Sumbangan berjumlah di antara RM20.00 hingga RM100.00 telah disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dr Ibrahim Saad dan Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali kepada anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Ummi, Sungai Jelok, Kajang, Rumah Anak Yatim Al-Kauthar, Bandar Baru Bangi, anak-anak yatim kakitangan UKM yang meninggal dunia, ibu tunggal atau balu staf UKM yang meninggal dunia dan muallaf serta orang Asal Bangi.

Terdahulu, Prof Datuk Noor Azlan dalam ucapan alu-aluannya berkata, majlis Hari Raya adalah peluang untuk warga UKM meningkatkan semangat kekeluargaan dan bermaaf-maafan di antara satu sama lain.

“Saya berbangga kerana sehingga kini UKM berjaya mengharungi segala cabaran untuk menjadi Universiti yang cemerlang di negara ini.  Kejayaan yang dicapai adalah hasil komitmen yang jitu setiap warga UKM termasuk pelajar.

“Masyarakat melihat UKM sebagai universiti awam yang berjaya menonjolkan imej di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dan saya berharap warga UKM akan terus mempertahankan kecemerlangan yang dicapai semenjak 48 tahun penubuhannya”.

Kira-kira 3,000 staf UKM termasuk dari UKM Kampus Kuala Lumpur dan  Pusat Perubatan UKM, Cheras turut menghadiri majlis tersebut.ukmnewsportal-bm
2

3

4