WALS 2022 Promosi Pelancongan Negara melalui Bidang Pendidikan


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 21 September 2022 – Persidangan Antarabangsa Kajian Pembelajaran 2022 (WALS2022) yang menghimpunkan lebih 700 peserta dari 31 buah negara menjadi salah satu medan perkongsian ilmu selain dapat mempromosikan sektor pelancongan negara.

Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Prof. Ts. Dr. Ruslan Abdul Rahim berkata proses persiapan yang mengambil masa hampir setahun itu berjaya dilaksanakan dengan jayanya dan ia adalah sebagai tanda sokongan dan semangat penuh Malaysia amnya dan UKM khasnya dalam menganjurkan persidangan antarabangsa.

“Semangat yang ditunjukkan ini adalah seiring dengan kami di MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia) yang sentiasa mengalu-alukan lebih ramai pelancong antarabangsa ke negara ini,” katanya.

Bercakap berkenaan persidangan WALS itu, beliau berkata dalam ekonomi global hari ini, kejayaan sesebuah negara bergantung pada pengetahuan, kemahiran dan kecekapan rakyatnya.

“Tidak hairanlah bahawa negara yang mempunyai tahap pendidikan tinggi cenderung menikmati kemakmuran ekonomi yang lebih besar.

“Pendidikan juga merupakan asas dalam pembinaan dan perpaduan negara yang difikirkan baik. Ia membolehkan individu memperbaiki kehidupan mereka, menjadi ahli masyarakat yang berjaya, dan menjadi penyumbang aktif kepada pembangunan negara.

“Berinteraksi dengan individu daripada pelbagai latar belakang sosio-ekonomi, agama, dan etnik sambil belajar memahami dan menerima perbezaan, kita sedang membina masa depan Malaysia melalui  pengalaman dan aspirasi yang dikongsi bersama. Melalui pengalaman dan aspirasi yang dikongsi inilah identiti dan perpaduan nasional yang sama dapat dipupuk.”

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan Perasmian Majlis Makan sempena Persidangan WALS 2022, di sini. Beliau hadir bagi mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Hadir sama ialah Presiden WALS; Prof. Dr. Catherine C. Lewis.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin berkata persidangan WALS adalah perbincangan dan perkongsian pendapat dalam menangani isu pendidikan nasional dan global dengan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran melalui kajian pembelajaran.

“Saya percaya kita telah mengadakan satu siri perbincangan yang bermanfaat dan perkongsian pengetahuan yang menyentuh pendekatan mendalam yang mungkin tidak biasa bagi sesetengah orang.

“Saya yakin sepanjang persidangan ini berlangsung lebih banyak lagi informasi akan menyusul kerana pelbagai platform disediakan untuk perkongsian pengetahuan, termasuk simposium dan sesi plenari,” katanya.