Wanita perlu bersedia mental dan emosi untuk menjadi pemimpin
Oleh Asmahanim Amir dan Mas Aliza Abu
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 10 Disember 2020 – Wanita perlu bersedia mempersiapkan diri mereka dengan kestabilan emosi dan mental untuk menjadi pemimpin, tegas presiden National Council of Women’s Organisations Malaysia (NCWO), Prof. Emerita Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sharifah Hapsah.
Beliau berkata, ramai wanita yang berkaliber dan berkelayakan menjadi pemimpin tetapi tidak dipilih kerana kurang keyakinan diri.
“Negara kerugian kerana kita tidak mencapai sasaran 50 peratus kepimpinan wanita dalam organisasi dan institusi sama ada dalam sektor kerajaan, swasta atau NGO,” katanya semasa menyampaikan ucapan penutup ‘Program Kepimpinan Wanita: Membina Pemimpin Masa Hadapan’ yang diadakan secara dalam talian.
Beliau menambah, kerajaan melaksanakan pelbagai program dan strategi untuk memperkasakan wanita.
“Kita mahu mereka bersedia kerana kepimpinan bukan hanya melibatkan pengetahuan tetapi juga aspek mental dan emosi perlu dititikberatkan.
“Semasa menjadi Naib Canselor UKM dahulu, saya lihat pelajar dan pensyarah muda mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat bagus, tetapi malangnya mereka kurang keyakinan diri,” katanya.
Justeru, kata beliau, seminar tersebut menjadi platform membina ketahanan dan keyakinan diri dalam menjadi seorang pemimpin masa hadapan.
“Ciri seorang pemimpin yang baik adalah menjadi suri teladan kepada pasukan dengan mewujudkan suasana profesional dan sihat untuk perkembangan masyarakat serta bekerjasama sebagai pasukan demi mencapai matlamat dan nilai dalam kepimpinan iaitu moral dan etika.”
Mengulas lebih lanjut, Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH), Prof. Dr. Dayang Anita Abdul Aziz menyifatkan seminar yang dijalankan secara percuma kepada pelajar, warga UKM, serta masyarakat luar itu telah menjadi medan perkongsian kepimpinan antara pemimpin terdahulu, semasa, dan masa depan.
“Menjadi pemimpin tidak boleh hanya tahu subjek kepakaran kita sahaja. Contohnya, saya mungkin pakar dalam bidang pembedahan tetapi saya tidak boleh sekadar tahu tentang pembedahan semata-mata. Sebaliknya, saya perlu tahu tentang hak-hak wanita, cabaran kepimpinan, dan libat urus dengan jaringan,” katanya.
Prof. Dr. Dayang Anita adalah profesor wanita pertama dalam pembedahan Pediatrik di Malaysia. Beliau juga wanita pertama yang memimpin perkhidmatan Pembedahan Pediatrik di sebuah institusi akademik di Malaysia.
Terdapat enam slot ceramah dalam Seminar Membina Pemimpin Masa Depan iaitu slot Wanita dan Hak-haknya, Cabaran Kepimpinan, Libat Urus dan Jaringan, Menangani Kepelbagaian, Ketahanan Mental dan Perkongsian Pengalaman Kepimpinan
Program Kepimpinan Wanita: Membina Pemimpin Masa Hadapan yang dianjurkan oleh PKWTFH, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama National Council of Women’s Organisations Malaysia (NCWO) telah menghimpunkan ramai pemimpin wanita berkaliber bagi berkongsi ilmu kepimpinan.
Selain Prof. Emerita Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sharifah Hapsah, program ini turut menampilkan Dato’ Sri Maznah Mazlan, Prof. Dato’ Dr. Rashila Ramli, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur dan Dato’ Dr. Siti Norlasiah Ismail