Webinar Pendanaan Industri Untuk Projek Komuniti Kongsi Strategi Pendanaan Industri.
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 20 Oktober 2021 – Webinar Pendanaan Industri untuk Projek Komuniti adalah satu langkah yang baik bagi berkongsi strategi selain mengukuhkah lagi kefahaman serta pengetahuan tentang keperluan mendapatkan dana daripada pihak industri.
Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin berkata webinar itu adalah salah satu wadah kepada seluruh warga Universiti Kebangsaan Malaysua (UKM) untuk mempersiapkan diri dalam merancang pelaksanaan program pembangunan komuniti yang memberikan impak yang signifikan kepada masyarakat.
“Ia juga selari dengan hasrat UKM untuk menjana, menyebar dan menerapkan ilmu secara strategik dan inovatif bagi memperkasakan kualiti budaya bangsa dan kemakmuran masyarakat.
“Prakarsa universiti untuk masyarakat atau “U4S” yang menitikberatkan pemindahan ilmu dengan pengisian kesarjanaan menggunakan pendekatan quadarplehelix iaitu kolaborasi universiti-agensi-industri-komuniti perlu sentiasa dipupuk sebagai salah satu usaha penambahbaikan kepada inisiatif Program Pemindahan Ilmu.
“UKM juga harus prihatin terhadap masyarakat bagi memastikan komuniti setempat merasai keberadaan UKM dan juga mampu untuk menyelesaikan permasalahan mereka,” katanya semasa menyampaikan ucapan di webinar tersebut yang diadakan hari ini melalui aplikasi Zoom.
Katanya, gabungan kepakaran serta kemahiran pelbagai pihak dalam UKM juga amat signifikan dalam merealisasikan hasrat komuniti di lokaliti terpilih untuk menuai jasa UKM dalam program yang bersifat lestari dan mampan.
“Agenda transformasi masyarakat ini menjadi salah satu keutamaan UKM dalam merealisasikan hasratnya sebagai sebuah universiti watan,” katanya.
Webinar yang dianjurkan oleh Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), dengan kerjasama Pejabat Hubungan Industri (PHI) menampilkan tiga ahli panel iaitu Prof. Dr. Azizan Ahmad yang merupakan Pengerusi Jabatan Sains Kimia, Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Seri Azalina Mohd Ghazalli, Ketua Jabatan Halal dan Hubungan Kerajaan, Duopharma Biotech Berhad dan Mahyoun Manshor, Setiausaha Koperasi Komuniti Kepulauan Tuba dan Selat Berhad.
Menurut Prof. Dr. Azizan, dalam era pandemik ini, sebelum universiti membina hubungan bersama komuniti, latihan-latihan yang berkaitan perlu diadakan bagi memastikan program yang diadakan bersama komuniti dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Kita mesti ada blue print atau hala tuju untuk pembangunan komuniti. Kita perlu ada strategi agar hubungan antara universiti-industri-komuniti dapat menghasilkan sesuatu yang memberi manfaat kepada semua,” katanya.
Bagi Seri Azalina pula, kerjasama antara universiti-industri-komuniti memberi kesan yang lebih baik kepada pihak industri.
“Kita memang perlu berikan semula kepada komuniti. Setiap tahun kami ada bajet untuk disalurkan kepada komuniti. Contohnya untuk program CEO@Faculty, kami ada bajet untuk universiti terlibat dalam menjalankan program-program lain di bawah program tersebut.
“Walaupun sumbangan yang diberikan itu tidaklah sebesar mana, tapi kedua-dua pihak (universiti dan industri) memberi kerjasama yang baik. Jalinan kerjasama ini akan memberi kesan yang sangat baik kepada kedua-dua pihak,” katanya.
Sementara itu, Mahyoun berkata komuniti sekarang ini sudah semakin terbuka untuk menerima pembaharuan, tetapi pihak universiti atau industri perlu terangkan apa yang mereka akan dapat daripada pembaharuan tersebut.