Wira Tidak Dicanang Yang Bantu Jadikan Impian UKM Satu Kenyataan
Oleh Asmahanim Amir
Foto Abdul Raai Osman dan Izwan Azman
BANGI, 6 Jun 2016 – Mengimbas kembali jasa mulia seorang pelajar berusia 13 tahun yang mengumpulkan RM1 untuk menderma kepada dana pembinaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 48 tahun yang lalu, universiti itu berjaya menjejaki wira tidak dicanang itu sejak bulan April.
Berbekalkan hanya sepotong keratan akhbar tahun 1960an dalam arkib UKM, misi mencari Mohamad Nordin Tahir yang dilancarkan berjaya membuahkan hasil apabila insan berjasa itu dapat ditemui.
Ahmad Tahir atau ‘Nordin’ sanggup menyimpan separuh daripada duit perbelanjaan persekolahannya kerana mahu meyumbang ke tabung derma pembinaan universiti kebangsaan 48 tahun lalu.
Nordin, 61, yang hadir ke Majlis Sambutan 46 Tahun Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 20 Mei lalu, melafazkan perasaan terharu kerana pengorbanan yang dilakukannya dahulu dihargai oleh UKM.
“Saya tidak menyangka hanya dengan menderma sebanyak RM1 pada ketika itu, saya dijulang bagaikan perwira hari ini. Terima kasih UKM kerana mencari dan masih mengingati saya walaupun bagi saya sumbangan yang saya berikan suatu ketika dahulu tidaklah terlalu besar,” katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.
Beliau berkata 48 tahun lepas, dia menyimpan sebanyak 10 sen sehari daripada wang perbelanjaan sekolahnya untuk didermakan kepada UKM.
“Selepas 10 hari menabung, saya bawa duit itu ke sekolah dan menyerahkannya kepada guru untuk disumbangkan bagi menubuhkan universiti ini.
Beliau berkata walaupun tiada ahli keluarganya melanjutkan pengajian di UKM, tetapi beliau berbangga kerana dapat menyumbangkan sesuatu untuk menubuhkan institusi pengajian tinggi ini.
Beliau yang telah bersara daripada syarikat swasta menghulurkan derma itu ketika berumur 13 tahun dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Takir (sekarang dikenali dengan nama SMK Ibrahim Fikri).
Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, pihaknya menyimpan semua keratan akhbar atau bukti penderma yang telah menyumbang kepada pembinaan UKM untuk pencarian semasa ke semasa.
“Nasib kami baik kerana ada di antara kakitangan yang kenal dengan keluarga Nordin dan pencarian berjalan lancar dan dalam masa seminggu,” beliau menerangkan.
Pada tahun 1968, Malaysia masih bergelumang dengan kemiskinan.
“Tetapi dalam situasi negara ketika itu, masih ada seorang remaja berumur 13 tahun terpanggil untuk sahut seruan ini. Beliau telah bagi sumbangan sebanyak RM1 yang ketika itu nilainya sangat besar. Inilah semangat Nordin yang kita bawa hari ini,” katanya.
Mengimbau kembali 46 tahun penubuhan UKM, Prof Noor Azlan berkata daripada sebuah universiti kecil, UKM terus membangun dan berkembang, setanding dengan sesetengah universiti yang lebih dewasa usianya.
“Sambutan 46 tahun penubuhan UKM adalah satu pendekatan yang strategik yang mendorong kita untuk mengimbau masa lalu, tahu menghargai dan mengenang budi para pelopor, pejuang dan pendukung inisiatif penubuhan UKM yang sangat getir dan berliku,” katanya.
Katanya beliau meletakkan setinggi-tinggi harapan kepada seluruh warga UKM agar terus berganding bahu menjadikan UKM menjadi lebih gemilang.