Yap Ah Loy Bukan Pengasas Kuala Lumpur
Oleh Alyani Azhar
Foto Abd Raai Osman
BANGI, 1 Ogos 2017 – Yap Ah Loy bukan individu pertama yang datang ke Kuala Lumpur.
Demikian menurut Prof Emeritus Tan Sri Dato’ Dr Khoo Kay Kim semasa wacana cendekiawan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) bertajuk ‘Apakah Kuala Lumpur dibuka oleh Yap Ah Loy’, baru-baru ini.
Menurut beliau, Sutan Puasa daripada golongan Mandailin adalah individu pertama yang datang ke Kuala Lumpur.
“Pada zaman tersebut, golongan Mandailin bertanggungjawab menjemput kaum Cina dari Sg Ujung ke Kuala Lumpur,” katanya.
Yap Ah Loy pula adalah individu yang terlibat dalam pembangunan Kuala Lumpur selepas kebakaran pada tahun 1880 yang memusnahkan kampung cina, kata beliau.
Yap Ah Loy bertanggungjawab membina semula kampung cina menggunakan batu bata menggantikan rumah papan yang hangus terbakar.
Sementara itu, Pengarah ATMA, Prof Dr Supyan Hussin berkata wacana ini menyimpulkan bahawa Yap Ah Loy bukan pengasas Kuala Lumpur.
Sebaliknya, beliau adalah individu yang terlibat dalam pembangunan kota raya tersebut.
Wacana Cendekiawan itu turut dihadiri oleh Pengerusi Majlis Warisan Kebangsaan, Dato’ Ar Hajeedar Abdul Majid.