Yayasan YTL Bekerjasama dengan UKM Beri Kad Sim Percuma Untuk Tujuan Pembelajaran
Oleh Mas Aliza Abu
Jumaat, 15 Mei 2020: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merupakan antara institusi pengajian tinggi yang terkini menyertai Inisiatif Belajar Dari Rumah anjuran Yayasan YTL. Dengan menyertai inisiatif ini, para pelajar dan staf UKM bukan sahaja akan mendapat kad SIM 4G YES secara percuma dengan data sebanyak 40GB. UKM melalui Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, turut bekerjasama dengan Yayasan YTL dan FrogAsia untuk membangunkan bahan pengajaran dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris untuk para pelajar Darjah 1 sehingga ke Tingkatan 5. Di bawah inisiatif ini, bahan pengajaran yang dibangunkan akan ditambah ke dalam silibus mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains sedia ada untuk kegunaan ibu bapa dan pelajar.
30 orang pelajar prasiswazah dan pascasiswazah dari Program Pengajian Bahasa Inggeris, Program Pengajian Linguistik dan Program Pengajian Bahasa Melayu dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM akan menyertai barisan felo dan alumni dari Teach for Malaysia membangunkan bahan pengajaran secara atas talian yang menarik dan memastikan para pelajar sekolah terus mendapat akses untuk meneruskan pembelajaran sementara sekolah masih ditutup.
Pada semester terakhir pengajian, pelajar prasiswazah UKM turut ditawarkan menjalani penempatan Latihan Industri selama 8 minggu di FrogAsia. Kerjasama antara UKM, FrogAsia dan Yayasan YTL ini membuka peluang untuk para pelajar prasiswazah ini menamatkan pengajian dalam tempoh yang telah ditetapkan, walaupun ketika ini banyak industri lain telah menarik semula tawaran penempatan Latihan Industri akibat dari penularan pandemik COVID 19.
Tan Sri (Dr) Francis Yeoh Sock Ping, Pengerusi Yayasan YTL berkata, “Kami amat berbesar hati Yayasan YTL sekali lagi dapat bekerjasama dengan UKM dalam satu program yang akan memberikan manfaat kepada para pelajar di negara ini. Terkini, kami telah bekerjasama dengan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM untuk membuat kajian mengenai keefisyenan reka bentuk semula, teknologi berasaskan bilik darjah ke atas pedagogi guru dan tabiat pembelajaran pelajar yang sering dijadikan asas dalam beberapa kertas penyelidikan akademik. Penggunaan teknologi dalam pendidikan merupakan sesuatu yang sangat dekat dengan UKM dan kami merasakan UKM merupakan rakan kerjasama terbaik untuk membangunkan bahan pengajaran dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.”
Terkesan dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (“PKP”), kaedah pengajaran dan pembelajaran di UKM kini telah beralih dari menghadiri kuliah atau perbincangan secara bersemuka kepada 100% kelas dan kuliah secara atas talian. Universiti ini telah menggunakan sistem pengurusan pembelajaran miliknya sendiri iaitu UKMFolio™ sebagai platform pembelajaran rasmi untuk meneruskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta peperiksaan atas talian.
YBhg. Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd. Hamdi Abd Shukor, Naib Canselor UKM berkata, “Saya bagi pihak UKM mengalu-alukan peluang yang diberikan kepada para pelajar kami dalam menyumbang kepada pembangunan Inisiatif Belajar Dari Rumah dan juga berterima kasih kepada Yayasan YTL kerana menawarkan 40GB data percuma talian YES 4G kad sim kepada 28,000 pelajar UKM. Untuk semester ini, kita telah memulakan pembelajaran secara atas talian mulai 27 April 2020 yang lalu. Kita faham bahawa bukan semua pelajar mempunyai capaian internet berkelajuan tinggi di rumah. Justeru, inisiatif ini dapat membantu meringankan beban pelajar terutama kepada pelajar yang terpaksa bergantung kepada data telefon mudah alih bagi menjalani proses pembelajaran atas talian dan berhubung dengan pensyarah masing-masing.”
Kerjasama di antara UKM dan Yayasan YTL ini umpama “sambutan berganda” kepada UKM yang akan menyambut Ulang Tahun Ke-50 penubuhannya pada 18 Mei 2020. Perkongsian strategik dengan sektor swasta ini adalah sesuatu yang penting untuk pembangunan universiti ke arah menjadi salah satu institusi pengajian tinggi bertaraf dunia pada masa hadapan.
Permohonan untuk menyertai Inisiatif Belajar Dari Rumah ini terbuka kepada pelajar dan staf UKM sehingga 9 Jun 2020. Universiti lain yang telah menyertai inisiatif ini termasuklah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Malaysia Pahang (UMP), New Era University College (NEUC) dan Malaysian Institute of Art (MIA).
Yayasan YTL turut memaklumkan bahawa tarikh akhir permohonan untuk mendapatkan kad SIM prabayar YES 4G percuma dan pencalonan untuk mendapatkan telefon percuma dengan 120GB data selama 12 bulan untuk pelajar dari keluarga B40 telah dilanjutkan sehingga 9 Jun 2020, selaras dengan penyambungan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
Sila layari www.ytlfoundation.org/learn untuk membuat permohonan dan mendaftar di FrogPlay Mobile untuk menyertai kuiz ulang kaji untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains untuk Darjah 1 sehingga Tingkatan 5. Untuk mendapatkan pemakluman secara berkala berkenaan inisiatif ini, sila ikuti kami di https://www.facebook.com/ytlfoundation atau @ytlfoundation di Instagram dan Twitter.