Ziarah Alumni UKM Mengukuhkan Hubungan Alumni-Alma Mater


Oleh: Pusat Perhubungan Alumni (Alumni-UKM)

Pusat Perhubungan Alumni UKM sekali lagi melancarkan program Ziarah Alumni bagi membantu alumni yang terkesan dengan penularan pandemik COVID yang berlaku di seluruh dunia. Ziarah Alumni ini bersifat spesifik dan bertumpu kepada individu atau keluarga alumni bagi menyantuni mereka. Senang sama dinikmati, susah sama diharungi.

Menurut Prof Ir Dr Mohd Syuhaimi Ab Rahman, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UKM, Ziarah Alumni juga berperanan untuk merapatkan serta mengukuhkan semula hubungan alumni bersama universiti yang mungkin lama tidak berhubung di samping menggamit semula kenangan berada di UKM dengan mempertemukan semula alumni-alumni UKM dan bercerita mengenai pengalaman masing-masing. Keakraban ini pasti akan memberi manfaat kepada alumni dan alma-mater. Program ini berjalan pada setiap hujung minggu bersama beberapa orang sukarelawan yang merupakan alumni UKM.

Terdahulu UKM juga telah melancarkan Misi Bantuan Kasih untuk membantu  masyarakat di Kelantan, Pahang, Selangor dan juga Bandar Baru Bangi. Bermula Misi Bantuan Kasih pertama sehingga kini sebanyak RM90,000 telah berjaya dikumpulkan daripada para penderma iaitu kalangan alumni, warga dan sahabat UKM.

Selain memupuk semangat kerjsama dan ukhwah antara kami, Misi Bantuan Kasih dan Ziarah Alumni ini juga merupakan inisiatif Pusat Perhubungan Alumni UKM dalam memberi peluang kepada kakitangan UKM untuk berkhidmat kepada masyarakat sebagai menyahut aspirasi Universiti Prihatin.

Membentuk filantropi dalam kalangan masyarakat adalah suatu yang mencabar dan perlu dibeli daripada mereka. Oleh itu program seperti ini adalah kaedah pembayarannya. UKM dan masyarakat berpisah tiada dan semoga universiti ini sentiasa berada di hati masyarakat selamanya, ujar Prof Syuhaimi.

Tiada apa boleh dikatakan apabila melihat mereka sangat gembira dan berulangkali mengucapkan terima kasih. Menyantuni rakan-rakan alumni serta membantu mereka adalah suatu hasrat dan cita-cita kami. Alumni UKM sentiasa utuh bersama dan sedia membantu antara satu sama lain.  Ziarah Alumni ini melambangkan Jiwa UKM, Jiwa Masyarakat, berkata salah seorang sukarelawan ketika ditemubual.

Naib Canselor UKM, Prof. Dato Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman juga menyarankan semua pusat tanggung jawab universiti untuk teruskan mendekati alumni masing-masing. Bukan tanggung jawab Pusat Perhubungan Alumni sahaja malah semua yang tahu di mana alumni kita berada untuk terus berhubung dan mengekalkan silaturahim serta membawa mereka mendekati UKM.

UKM adalah sebuah universiti yang digerakkan oleh alumni. Mereka sentiasa membantu universiti dalam memastikan universiti ini berada pada kedudukan yang terbaik dalam penarafan dunia.