Angkasawan dedah rahsia capai kejayaan dalam setiap bidang

RABU, 26 MEI 2010 09:02
BY SHAHFIZAL MUSA

DARIPADA 11,475 orang yang mendaftar untuk menyertai program angkasalepas Malaysia, Sheikh Muszaphar Shukor terpilih untuk menjadi angkasawan pertama Malaysia dan telah pun meluncur ke angkasalepas pada 2007.

Beliau muncul yang terbaik daripada kalangan beribu-ribu pesaing yang tidak kurang handalnya. Namun apakah yang dimilikinya yang membawa kepada pemilihannya dan yang tidak ada pada calon lain? Adakah ia dikira nasib saja yang menyebelahinya, usaha gigih atau pun telahditakdirkan?

Apapun Sheikh Muszaphar terus menempah kemasyhuran sebaik saja beliau mendarat kembali ke bumi. Diburu oleh media dan sesiapa saja yang mahu menumpang sama kemasyhurannya, majalah-majalah berebut-rebut untuk menampilkannya di muka depan.

Kekaguman rakyat Malaysia amat menakjubkan sebagaimana kejayaan beliau sendiri.  Hinggakan angkasawan Islam pertama Putera Sultan Bin Salman, anak saudara Raja Abdullah dari Arab Saudi mengulas bahawa Sheikh Muszaphar “adalah kebanggaan seluruh dunia Islam”.

Mungkin dia adalah orang Islam pertama meluncur ke angkasalepas  tanpa menyembunyikan pegangannya. Walau pun beliau adalah orang Islam kesembilan membelah angkasalepas tetapi dia adalah yang pertama berpuasa ketika Ramadan di angkasalepas dan telah pula dibekalkan dengan senaskhah buku panduan bertajuk “Satu Panduan Menunaikan Ibadah (Solat) di Dalam Stesen Angkasalepas” yang diluluskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia.

“Saya mahu berkongsi dengan dunia apa Islam itu sebenarnya lantas apabila saya ke angkasalepas saya tidak mahu menumpukan hanya kepada sains tetapi mahu melibatkan Islam dan kesenian. Saya mahu menunjukkan terutama kepada dunia Islam walau apa yang berlaku dan di manapun kita berada kita wajib bersolat tidak kira cara ia dilakukan. Saya mahu ia menjadi rujukan orang Islam  yang ke angkasalepas di masa depan,” kata Muszaphar.

Terus kejar impian anda

Menemui Sheikh Muszaphar akan menghilangkan segala keraguan apakah beliau benar-benar layak diberi segala perhatian selama ini. Beliau tidak syak lagi  begitu berketrampilan dan yakin dan kita akan pasti dapat merasakan suasana penuh keyakinan ini sebaik beliau muncul.

Tidak seperti orang lain, yang hidup tanpa haluan membiarkan diri mereka dicengkam keadaan laksana sebuah kapal tanpa kemudi, Sheikh Muszaphar tahu apa yang dikehendakinya sejak dia berusia 10  tahun lagi. Dia mahu ke angkasalepas masa berusia begitu muda lagi.  Ketika itu pun dia yakin satu hari nanti dia akan ke angkasalepas.

“Saya masih ingat ketika memandang jauh ke langit sambil  berangan-angan saya tahu saya mahu menjadi angkasawan,” kata Muszaphar.

Inilah yang membezakannya dengan orang lain. Beliau bukan hanya berangan-angan ke angkasalepas malah menanam keazaman tanpa keraguan beliau akan meluncur membelah langit satu hari kelak.

Orang  lain juga  berangan-angan tetapi mereka pendamkannya apabila berdepan dengan cabaran dan dilanda gundah-gulana. Akhirnya tidak banyak yang diinginkan akan tercapai kerana telah membelenggukan diri dengan pelbagai batasan dan halangan.

Sheikh Muszaphar menekankan betapa pentingnya untuk terus menyimpan angan-angan demi menjelmakannya menjadi kenyataan.

“Itulah sebabnya kita harus mempercayai diri kita sendiri. Kebanyakan orang  berangan-angan saja tetapi berdiam diri tanpa berusaha mencapainya. Apabila ditelan masa ia pun hilang daripada ingatan kita. Jadi kita harus sentiasa fikirkan cara bagaimana mencapai cita-cita  dan angan-angan. Lakukan apa yang perlu membawa kita lebih dekat mencapai matlamat dituju dan apabila peluang terbuka maka genggamilah ia,” kata Muszaphar.

Muslihatnya, kata beliau lagi, adalah kita mesti membina kekuatan  mental untuk berfikir menjangkau persekitaran yang membelenggu kita kini.

Beliau menjelaskan bagaimana memiliki kekuatan itu dan tidak membenarkan persekitaran menghalang kita daripada mencapai apa yang kita rasakan sebagai tidak mungkin boleh dicapai.

“Jika kita mahu sesuatu dalam hidup ini kita mesti  memasang cita-cita besar. Kita mesti berusaha gigih bagi mencapai impian kita itu. Kita mungkin tidak berjaya mencapainya kini, mungkin juga 15 tahun akan datang tetapi saya mencapai impian saya setelah 25 tahun.  Ia mungkin memakan masa seumur hidup. Jadi suburkanlah impian kita dan terus berbuat sesuatu yang membawa kita semakin hampir mencapai matlamat dan apabila peluang muncul maka rangkullah ia,” kata Muszapahar.

Kekuatan mental bukanlah sesuatu yang dapat diperolehi dalam sekelip mata sebaliknya ia adalah sesuatu yang sentiasa dikejar. Memanglah jika kita dibesarkan dengan baik dan hidup di tengah-tengah persekitaran yang sentiasa membantu cita-cita kita akan lebih mudah dicapai.

Apapun segala kekurangan tidak harus dijadikan alasan untuk kita mengharungi kehidupan penuh kebosanan. Membesar di tengah keluarga yang sentiasa memberi sokongan memang membantu tetapi ia bukanlah prasyarat mencapai kejayaan. Ia lebih banyak bergantung kepada melatih fikiran mengenai cara bertindak balas menghadapi sesuatu. Ia adalah mengenai tanggapan seperti menganggap satu gelas air itu separuh penuh dan bukannya separuh kosong.

“Saya bernasib baik dan bersyukur dibesarkan dengan baik. Namun berasal daripada sebuah keluarga tanpa kelebihan bukanlah alasan untuk tidak berjaya dalam mengejar cita-cita. Lihat saja Einstein dia tidak pernah pun lulus peperiksaan sekolah menengah. Apa yang lebih penting adalah bagaimana kita memikirkan sesuatu dan tanggapan kita kepada persekitaran yang boleh menjejas kita. Ringkasnya bukanlah pendedahan yang menjadi perkiraan tetapi apa yang kita sudah terapkan dalam fikiran,” kata Muszaphar.

Sheikh Muszaphar mengakui bahawa memanglah agar sukar bagi sesetengah orang memasang angan-angan atau mengejar cita-cita apabila mereka perlu juga memikirkan cara menyara kehidupan mencari sesuap nasi dan membayar bil.

Jadi beliau merangka satu teknik mudah yang boleh membantu membina kekuatan mental yang akan membolehkan kita terus mengejar cita-cita tidak kira apa pun keadaan yang menimpa. Sheikh Muszaphar menggesa semua orang  yang mahu mencapai sesuatu agar menggambarkan seolah-olah mereka sudah pun mendapat apa yang diidamkan.

Pengamatan adalah satu teknik digunakan oleh saintis Russia yang mengkaji kumpulan atlet Olimpik mereka. Mereka membandingkan prestasi atlet-atlet yang menghabiskan 75 peratus daripada masa mereka melakukan latihan fizikal dengan golongan yang membina kekuatan mental untuk berjaya. Hasil kajian menunjukkan prestasi golongan mengukuhkan daya pemikiran adalah lebih baik.

“Setiap malam sebelum saya melelapkan mata saya akan berangan-angan dan menggambarkan saya sedang menuju angkasalepas. Suatu hari kelak saya akan pasti ke angkasalepas. Anda mungkin tidak dapat mencapai impian itu lima tahun dari sekarang malah saya sendiri mengambil masa 25 tahun untuk mencapai cita-cita saya,” katanya.

Matlamat beliau sekarang ini adalah berusaha mengubah pemikiran lima kanak-kanak setiap hari. Muszaphar mahu kanak-kanak mengidamkan sesuatu yang besar dan penting dan menanam keyakinan bahawa apa yang boleh difikirkan dapat dicapai .

Sheikh Muszaphar sudah pun pergi ke angkasalepas tetapi kakinya masih kekal berpijak di bumi nyata walaupun beliau mendedahkan rahsianya menjadi seorang angkasawan tetapi tidak kurang juga penting adalah satu lagi rahsia beliau iaitu: “Saya percaya kepada qadak dan qadar. Jika Allah kata andalah orangnya yang dipilih tidak ada apa pun yang mampu menghalang apa yang sudah disediakan Illahi,  iaitu takdir tetap memainkan peranan tetapi saya yakin kitalah yang membentuk nasib kita sendiri.”