Dana Waqaf UKM dilancar
ISNIN, 24 MEI 2010 11:50
BANGI, 21 Mei, 2010 – Sebuah DANA Waqaf UKM dilancarkan hari ini sebagai suatu usaha memanfaatkan berbagai tabung universiti termasuk Tabung Pendidikan dan Kebajikan Pelajar, Tabung Pembangunan Pelajar, Tabung Penyelidikan dan Pembangunan Akademik serta Tabung Jaringan UKM Industri dan Masyarakat.
Penubuhan Dana Wakaf itu ditandatangani hari ini oleh Naib Canselor UKM, Tan Sri Dato’ Prof. Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa. Mais dengan itu akan membuka sebuah Tabung Dana Waqaf UKM di pejabatnya.
Satu lagi perjanjian surat hasrat juga ditanda tangani pada upacara itu dengan CIMB Islamic sebagai penaja utama dana. CIMB diwakili Ketua Eksekutif CIMB Islamic Encik Badlisyah Abdul Ghani. Turut hadir adalah Pengerusi CIMB Islamic Dato’ Dr Syed Muhamad Syed Abdul Kadir.
CIMB Islamic akan menjadi agen pemungut untuk dana itu melalui perbankan internetnya bagi memudahkan sesiapa yang hendak menyumbang melalui CIMB Clicks yang beroperasi 24 jam sehari.
Program sumbangan untuk menjana kewangan dana UKM itu diamanahkan kepada Yayasan Canselor dan ia adalah sebagai kesinambungan bakti menderma masyarakat kepada UKM sebagaimana telah berlaku pada awal penubuhannya. Penbuhan Dana Wakaf UKM itu diharap dapat memperkasakan agenda akademik, penyelidikan dan perkhidmatan universiti.
Prof. Dr Sharifah Hapsah berkata dana itu adalah juga satu warisan tradisi universiti tersohor dunia Al-Azhar yang diwujudkan atas asas waqaf dengan operasinya dibiayai sepenuhnya oleh dana itu.
Prof Sharifah Hapsah memberi contoh bagaimana Universiti Harvard mempunyai 11,000 Dana Endowmen yang juga berkonsepkan dana waqaf yang berjaya mengumpul sehingga AS$16 bilion.
Beliau berkata kejayaan mewujudkan Dana Waqaf UKM itu adalah hasil kerjasama dan sokongan Mais selaku pemegang amanah tunggal harta waqaf di Selangor.
Prof Sharifah Hapsah berkata dana waqaf ini akan digunakan untuk membantu membiayai yuran pendidikan dan kos sara hidup pelajar yang kurang berkemampuan, meningkatkan kemahiran generik dan menganugerahkan zamalah penyelidikan kepada pelajar dalam program pasca siswazah.
Berbanding dengan zakat harta yang diwajibkan bagi setiap orang Islam yang cukup syarat, amalan menderma dan mewaqaf adalah amalan sunat. Bagi derma, wang atau harta didermakan boleh dibelanjakan terus tetapi bagi waqaf, hanya pulangan yang boleh dibelanjakan.
“Di sinilah letaknya kelebihan dan keistimewaan waqaf manakala manfaat daripada harta waqaf adalah berpanjangan dan ini bererti pahala pun akan berpanjangan,” kata Prof. Dr Sharifah.
Encik Badlisyah berkata kolaborasi CIMB dengan UKM bermula sejak 2002 lagi apabila CIMB Clicks dijadikan saluran mengutip yuran pelajar.
“Konsep perbankan dan kewangan Islam bukan hanya terhad kepada transaksi mengikut hukum syariah dan memperolehi keuntungan, tetapi konsep kewangan Islam juga menekankan tanggungjawab sosial dan perlunya institusi Islam dan pelanggan mereka berinteraksi dalam bidang pembangunan negara,” katanya.
CIMB turut menaja program mempromosi Dana Waqaf UKM dan membuka akaun Dana Waqaf UKM di CIMB Islamic Bank.
Selain sumbangan tunai, pindahan wang, pemberi sumbangan boleh juga menyumbang melalui potongan gaji menerusi e-Waqaf UKM atau muat turun borang , CIMB Clicks, BIMB, Giro BSN, Maybank Islamic, AmIslamic.
Pada peringkat awal, pembiayaan bagi skim pendidikan dan kebajikan pelajar diberikan kepada pelajar tahun pertama saja. Dengan unjuran Dana Waqaf mengumpul RM5 juta bagi tahun pertama dan pada nilai purata pembiayaan RM6,590 setiap pelajar, adalah dianggarkan 47 pelajar akan mendapat manfaat daripada skim berkenaan.
Pada akhir tahun keempat kelak, unjuran Dana Waqaf akan berjumlah RM20 juta dan dijangka memberi manfaat kepada 250 pelajar.
Bagi menjayakan lagi kempen “Amal UKM 2010” dengan tema ‘Waqaf, Amalam Mulia, Budaya Kita’, dua laman web diwujudkan : www.waqaf.ukm.my dan www.endowmen.ukm.my.