Malam Inovasi UKM Sediakan 15 Kategori Hadiah Berprestij
SELASA, 18 MEI 2010 08:00
BY RADZUAN GHAZALI
Pengarah Pusat Perubatan UKM, Prof Dato’ Dr Lokman Saim dinobatkan sebagai penerima Anugerah Citra UKM 2009 sempena Malam Anugerah Inovasi Ke-5 pada 30 April di Puri Pujangga, UKM Bangi. Prof Lokman yang juga Dekan Fakulti Perubatan menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan Sijil Penghargaan daripada Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dr Mazlan Ahmad. Selain itu Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan pula menerima Anugerah Kualiti Naib Canselor dengan meraih hadiah wang tunai RM10,000.00 dan Sijil Penghargaan. Kedua-dua hadiah itu adalah antara 15 anugerah cemerlang yang disampaikan pada malam itu.
Selain itu, dua orang pelajar UKM turut menerima Anugerah Bakti Terbilang. Mereka ialah Safarizmal Md Saad bagi kategori prasiswazah dan Amy Poh Ai Ling untuk kategori siswzah. Kedua-dua mereka menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan Sijil Penghargaan. Anugerah-anugerah Penyelidikan juga disampaikan malam itu. Dr Mohammad Tariqul Islam dari Institut Sains Angkasa (ANGKASA) menerima Anugerah Penyelidik Muda, Prof Dr Wan Ramli Wan Daud dari Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses, Fakulti Kejuruteraan menerima Anugerah Penyelidikan (Individu) dan Prof Dr Siti Rugayah Tibek dari Institut Kajian Rantau Asia Barat menerima Anugerah Penyelidikan Berkumpulan. Kesemua mereka menerima hadiah wang tunai antara RM2,000 dan RM5,000.00 serta Sijil Penghargaan.
Sembilan orang tenaga akademik pula menerima Anugerah Pengajar Cemerlang. Mereka ialah Ezad Azraai Jamsari dan Anuar Puteh dari Fakulti Pengajian Islam, Dr Fazilah Idris dari Pusat Pengajian Umum bagi gugusan Sains Sosial, Prof Madya Dr Andanatusti Muchtar dari Fakulti Kejuruteraan dan Prof Madya Dr Juhana Salim dari Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat bagi Gugusan Sains, Prof Madya Dr Mohd Shahrir Mohamed Said dari Fakulti Perubatan, Dr S. Nagarajan M.P Sockalingan dari Fakulti Pergigian, serta Dr Normah Awang dan Prof Maday Dr Poh Bee Koon dari Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu bagi kategori gugusan Kesihatan. Kesemua mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM3,000.00 dan Sijil Penghargaan.
Naib Canselor UKM, Pror Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin turut menerima hadiah Kategori Penulisan Umum untuk Suratkhabar. Beliau menerima hadiah wang tunai RM3,000.00 dan Sijil Penghargaan.
Prof Sharifah Hapsah dalam ucapannya berkata majlis itu diadakan untuk memberikan motivasi dan dorongan kepada penerima selain suntikan semangat kepada wargr UKM lain untuk terus memberikan komitmen dan sumbangan lebih padu kepada UKM.
Katanya, tahun ini merupakan satu tahun istimewa kepada UKM kerana universiti akan menyambut ulang tahun ke-40 penubuhannya dan justeru itu kecemerlangan yang diraiikan telah bertapak dalam tempoh 40 tahun itu yang disuburi dengan idea dan program kreatif bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti masakini.
Beliau bagaimanapun mengingatkan warga UKM supaya tidak berpuas hati dan berbangga dengan pencapaian yang ada malah perlu bertekad untuk terus memperolehi tanda aras yang terbaik dalam usaha memberi perkhidmatan berkualiti tinggi sebagai amalan dan budaya yang berterusan.
Prof Sharifah Hapsah yakin UKM telah melepasi penilaian ‘self accreditation’ walapun secara tidak rasmi menandakan keyakinan warganya bahawa UKM mampu dan mempunyai komitmen untuk terus bersaing ke puncak kegemilangan.
Malam itu telah diserikan dengan persembahan dari Artisukma, Pusat Kebudyaan UKM.