UKM menjuarai Kejohanan Bola Tampar

SELASA, 25 MEI 2010 14:50
BY ABDUL GHANI

UKM menjuarai Kejohanan Bola Tampar Dewan MASUM bagi kali kelima berturut-turut

Pasukan UKM sekali lagi berjaya muncul sebagai johan di kejohanan Bola Tampar Dewan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2010 yang telah berlangsung di UiTM, Arau, Perlis dari 16 – 21 Mei lalu. Inilah kali kelima berturut-turut pasukan UKM muncul sebagai juara. Mereka mengalahkan pasukan UiTM di peringkat akhir dengan 3-0.

Bagi kategori Bola Tampar Pantai pula, pasangan Mohd Fitri Salim dan Tan Song Wee turut mengharumkan nama UKM dengan mengekalkan kejuaraan mereka tahun lepas apabila mengalahkan pasangan dari UTM, Skudai dengan 2-0.

Pengurus merangkap jurulatih pasukan UKM, Mejar Mohd Jasmy Abd Rahman berkata UKM kekal sebagai pasukan yang digeruni kerana dalam kejohanan kali ini ia tidak pernah kalah satu set pun kepada pasukan lawan termasuk diperingkat final.

Acara bola tampar dewan ini disertai oleh 18 pasukan dari IPTA seluruh Malaysia dan merupakan penyertaan terbesar sejak sukan ini diperkenalkan.

“Semoga kejayaan penuh gemilang ini akan terus dikekalkan pada musim kejohanan akan datang. Ia juga diharap dapat menjadi pendorong kepada atlet-atlet lain agar terus cemerlang dalam akademik dan juga sukan.”

Pasukan bola tampar dewan UKM ini akan mewakili Malaysia di Kejohanan Sukan Universiti Asean 2010 di Cheingmai pada bulan Disember depan.

Pasukan Bola Tampar UKM telah merangkul kejuaraan sejak Masum 2006 apabila menewaskan pasukan UM. Ini diikuti dengan mengalahkan UTM pada 2007. Pada 2008 UKM menumpaskan pasukan UiTM Sabah manakala tahun lalu UKM mengalahkan pasukan UPSI.

Jasmy berkata: “kejayaan hanya mampu dicapai dengan adanya disiplin yang tinggi di kalangan pemain dan saya amat tekankan aspek ini terutama soal kehadiran tepat pada masanya selain latihan yang konsisten.

“Pemain berlatih dua kali seminggu pada sebelah malam dengan pasukan bola tampar pantai menggunakan tapak yang kami bina khas dengan pasir pantai dekat gelanggang bola tampar dewan,” katanya.

Selain semangat berpasukan, kesukanan, kecergasan dan bekerjasama yang erat, pemain kita mempunyai daya tahan dan daya saing yang tinggi di samping tidak mudah mengaku kalah dalam situasi tertekan, katanya.

“Satu contoh baik adalah ketika pasukan bola tampar dewan UKM menentang pasukan UPSI pada 2009.  Mereka menang set pertama dan kedua, tetapi kita tetap tabah dan bersemangat untuk bangkit pada set ketiga lalu menang dan menumbangkan lawan pada set keempat dan kelima,” kata Jasmy.

Dalam menggalakkan pelajar baru melibatkan diri dalam sukan, Jasmy menegaskan pelajar yang mahu fikiran sentiasa cergas dan tajam serta memastikan tubuh sihat harus mengambil bahagian dalam kegiatan sukan yang dianjurkan.

Pengajian di kampus universiti tidak harus tertumpu hanya kepada kuliah dan pelajaran semata-mata malah semua pemain kami mencapai kejayaan baik dalam pelajaran masing-masing, ujarnya.

Tan Song Wee yang bergandingan dengan Mohd Fitri Salim untuk merangkul kejuaraan pertandingan bola tampar pantai pada Masum 2010, memperolehi Purata Nilai Gred Komulatif (PNGK) lebih 3 dan bercadang meneruskan pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang pentadbiran perniagaan.

Selain dalam negara, pasukan bola tampar dewan UKM juga menyertai pertandingan di Sukan Universiti Sedunia (WUG) di Bangkok pada 2007 dan muncul sebagai naib-juara apabila kalah kepada pasukan Universiti Thammasat diperingkat final. Pada 2009, kita muncul sebagai juara menewaskan pasukan bola tampar dewan Indonesia di Sukma-Lindo.

Pasukan Bola Tampar UKM mendapat peruntukan RM150,000 setahun sebagai Sukan Tumpuan berbanding Pasukan Kriket UKM yang memperoleh peruntukan RM900,000 sebagai Pusat Kecemerlangan Sukan.

Kejayaan dicapai hasil kegigihan pemain dan latihan yang dijalani. Ini adalah satu persediaan diri mereka menjadi pelapis dan pasti diketengahkan di peringkat mewakili negara pada sukan antarabangsa, kata Jasmy.

Kejayaan di pertandingan-pertandingan sukan itu, membawa bersama ganjaran kepada pemain berupa kemudahan tinggal di dalam kolej secara percuma selama dua semester (pingat emas) dan satu semester (pingat perak).