Faktor Sosiobudaya Lemah Membawa Kepada Kejadian Bunuh Diri
Isnin, 06 Disember 2010 08:02
Oleh Shahfizal Musa
Foto oleh Abd Raai Osman
BANGI, 3 Dec. 2010 – Pengaruh globalisasi, urbanisasi serta pascamodenisme yang mengancam sosiobudaya masyarakat telah melemahkan keadaan yang boleh melindungi seseorang dari membunuh dirinya sendiri, demikian kata seorang Prof Psikiatri UKM hari ini.
Profesor Dr. Maniam Thambu dari Fakulti Perubatan UKM berkata terdapat beberapa sebab yang mampu menghalang seseorang dari pada membunuh diri. Antaranya kepercayaan agama, sokongan sosial dan memikirkan perasaan orang yang tersayang seperti keluarga dan anak-anak.
Malangnya faktor penyelamat ini semakin lemah disebabkan pengaruh urbanisasi dan globalisasi, katanya dalam syarahan perdananya mengenai “Hidup atau Mati: Masalah Bunuh Diri di Malaysia dari Perspektif Psikiatri” disini.
Kebajikan anak yang merupakan salah satu faktor yang boleh menghapuskan niat untuk membunuh diri suatu masa dahulu, kini terdapat anak yang tidak berdosa itu sendiri boleh kehilangan nyawa hanya kerana ibu bapa mereka sudah putus harapan untuk hidup.
“Terdapat peningkatan dalam kes ibu-bapa yang mengalami kemurungan membunuh anak mereka sebelum mengambil nyawa mereka sendiri . Pada tahun 2005 seramai lapan orang kanak-kanak telah dibunuh dengan cara ini di Malaysia,” kata Dr Thambu.
Beliau berkata akibat urbanisasi sistem sokongon sosial menjadi lemah dan kehidupan di bandar yang sentiasa bergerak dan sibuk gagal menghasilkan jaringan sokongan sosial yang erat.
“Perhubungan antara individu yang dahulunya rapat telah berubah hingga bersikap tidak ambil peduli. Jurang sosial antara budaya semakin mudah dan tingkah laku sosial yang pernah di anggap terpesong menjadi biasa. Mereka yang mengalami tekanan mempunyai bantuan yang terhad,” katanya.
Ugama juga sudah kehilangan kuasa mencegah untuk menghalang seseorang daripada membunuh diri. Ini adalah kerana masyarakat majmuk hari ini telah memberi kesan negatif kepada kepercayaan seseorang.
“Pegangan kepada nilai agama dan mempraktikkan cara hidup beragama telah menjadi kurang penting. Fungsi agama yang asas telah di ancam kemajmukan, di mana unsur penting ini yang boleh mengintegrasikan individu dengan masyarakatnya menjadi lemah” kata Dr Thanmbu.
Beliau berkata bahawa media juga tanpa disedari telah sedikit sebanyak memberi galakan kepada keadaan mahu membunuh diri. Media, katanya, memainkan peranan dalam peningkatan statistik bunuh diri dengan mengenegahkan kes-kes itu. Walaupun tujuannya baik tetapi niat baik ini tanpa disedari telah menjadi galakan untuk orang yang menghadapi kemurungan.
“Beberapa kajian menunjukan bahawa pendedahan mengenai kejadian bunuh diri dalam media massa telah mengalakkan sesetengah individu untuk meniru tingkah laku tersebut”.
Ini jelas terbukti dalam satu kes di mana seorang lelaki berumur 50 tahun cuba untuk membunuh diri dengan mengunakan asap eksos kereta.
“Bila ditanya kenapa memilih cara tersebut, dia menunju satu laporan akhbar yang memberi gambaran terperinci bagaiman seorang telah membunuh diri mengunakan asap ekzos kereta,” kata beliau.
Internet juga menjadi pedang serampang dua mata dalam isu ini dengan ujudnya lebih daripada 100,000 laman web mengenai bunuh diri sejak tahun 1990an.
Beliau berkata bahawa pada tahun 2002, seorang lelaki berkomunikasi di internet tentang niatnya untuk membunuh diri dan inginkan seseorang untuk menemaninya. Seorang wanita dari sebuah negara lain telah bersetuju menemaninya.
Mereka kemudian pergi bersama ke daerah sebuah fiord di Norway dan membunuh diri dengan terjun bersama dari tebing yang tinggi.
Dr Thambu mencadangakan laman web yang mengalakkan bunuh diri di kawal sambil mengesyurkan media diberikan garis panduan untuk membuat laporan kes-kes bunuh diri, supaya berita demikian tidak akan digunakan sebagai panduan untuk membunuh diri bagi mereka yang sedang murung.
Turut hadir di majlis itu ialah Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Sharifah Hapsah Shahabudin dan Timbalan Naib Canselor, Dato’ Hassan Basri.