Kerjasama Malaysia-Korea Dalam Bidang Bioteknologi Nano
Khamis, 16 Disember 2010 14:28
Oleh Kuah Guan Oo
Foto oleh Saliman Leman
BANGI, 16 Dis. 2010 – Bengkel teknologi nano ke-empat Malaysia-Korea Selatan minggu ini telah mendapat perhatian lebih mantap berikutan perjumpaan kemuncak antara pemimpin kedua buah negara minggu lalu.
Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Presiden Lee Myung-bak dari Korea Selatan telah mengadakan perbincangan dua-hala di Putrajaya minggu lepas di mana mereka bersetuju bekerjasama dalam pelbagai bidang termasuk tenaga nuklear dan bioteknologi nano.
Presiden Lee dalam lawatan rasmi yang pertamanya ke Malaysia dan Najib telah memberikan dorongan kepada Bengkel Mengenai Teknologi Nano itu yang dihadiri oleh para scientists dan penyelidik dari Seoul National University (SNU), Kyungpook National University (KNU) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Lawatan President Lee Myung-bak telah menonjolkan kerjasama lebih erat dalam bioteknologi nano dengan Malaysia dan sudah tentu kami akan berbincang dan mengenal pasti bidang untuk bekerjasama,” kata ketua delegasi Korea itu, Prof Dr Jang Kyoo Shin dari KNU, sebelum menghadiri sesi terakhir bengkel itu Selasa lalu.
Ketua delegasi Malaysia, Prof Dato’ Burhanuddin Yeop Majlis, berkata mereka teruja dengan perkembangan baru itu dan telah mengenal pasti bidang-bidang untuk bekerjasama.
“Kami akan mengambil peluang ini untuk berbincang mengenai bidang untuk bekerjasama, selain berkongsi dan menukar ilmu dan pengalaman,” kata Prof Burhanuddin, pengarah Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN), UKM.
Katanya, belanjawan IMEN untuk tahun depan akan termasuk peruntukan untuk menghantar para akademik dan pelajar UKM ke Korea untuk latihan dan pendedahan, selain peruntukan mengundang saintis dan penyelidik Korea ke UKM sebagai profesor pelawat.
Walaupun UKM berazam menjadi “hub” atau pusat pendidikan, kemudahan penyelidikan IMEN tidak setanding dengan apa yang terdapat di SNU dan KNU, dua buah universiti terkemuka Korea.
“Tambahan pula, ia lebih mudah bagi kita mempelajari bagaimana Korea dapat berkembang maju dalam teknologi itu dalam jangka masa dua dekad saja.”
Kerjasama dengan Korea itu memberi peluang kepada para akademik, saintis dan penyelidik UKM untuk menerbitkan kertas penyelidikan mereka ke dalam jurnal terkemuka.
Beliau berkata bengkel itu telah dipelopori oleh Prof Jong Duk Lee dari SNU, seorang akademik Korea yang disegani yang dilantik sebagai seorang professor pelawat di UKM pada 2007. Berkat usahanya bengkel pertama telah diadakan di Seoul pada 2007, disusuli bengkel kedua di UKM pada 2008.
Bengkel ketiga di Korea pada 2009 disertai juga oleh penyelidik dari KNU. Sumbangan dan jasa Prof Jong Duk Lee itu telah diberi pengiktirafan oleh UKM yang melantiknya sebagai Profesor Kehormat.
Prof Dr Jee Hyun Kim dari KNU pula berpendapat bengkel itu amat berguna bagi membolehkan mereka menetapkan tanda aras (benchmark) penyelidikan yang dijalankan selain bertukar ilmu dan pengalaman.
Perjumpaan yang merentasi sempadan itu juga akan mendorong dan menggalakkan mereka memastikan kertas yang mereka sediakan bermutu tinggi.
Lebih banyak kertas mengenai bioteknologi nano dibentangkan pada bengkel itu yang menggambarkan arah aliran atau trend dalam bioteknologi nano di dunia di mana para saintis dan penyelidik sedang giat mencipta peralatan perubatan terbaik.
Seorang lagi anggota delegasi Korea, Prof Sung June Kim dari SNU, berharap mereka dapat menjalin persahabatan lebih rapat dengan rakan mereka di UKM dan akan menetapkan butiran kerjasama itu.
“Kerjasama itu akan berjaya jika ia saling melengkapi dan bukan bersaing. Sememangnya sukar untuk bersaing dengan sikap membina, jadi saya harap kami diterima sebagai sahabat dan bukannya pesaing,” katanya.
Ketiga-tiga saintis Korea itu berkata Kerajaan dan pihak swasta Korea amat menyokong dan membantu penyelidikan bioteknologi nano dengan peruntukan dana yang besar, sejajar dengan perkembangan teknologi itu di dunia.
Syarikat gergasi SAMSUNG, kata Prof Kim dari KNU, telah memperuntukkan kira-kira US$3 bilion bagi R&D (penyelidikan dan pembangunan) dalam bidang bioteknologi nano untuk menghasilkan peralatan kejuruteraan bagi bioperubatan.