Melayu perlu kuasai sains dan teknologi
Rabu, 15 Disember 2010 16:23
Oleh Abdul Ghani Nasir
Foto oleh Saliman Leman
KUALA LUMPUR, 15 Dis, 2010 – Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shababudin mahu orang Melayu meningkatkan lagi pengetahuan dan penguasaan sains dan teknologi untuk tidak terus ketinggalan.
Kemajuan dalam bidang ini juga penting bagi membantu kita menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 sejajar Model Ekonomi Baru kerajaan, katanya.
Berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains dan Teknologi di Alam Melayu (SALAM1) di sini hari ini, beliau berkata inovasi sains dan teknologi Melayu dahulu banyak dihasilkan berkait dengan kehidupan mereka yang rata-rata menjadi pelayar, pedagang dan petani.
Hasil sains dan teknologi kemudian dibawa masuk ke Melaka dari Venice, Timur Tengah, Asia Barat, China bahkan Portugis berusaha membina kilang di Melaka.
Namun, kata beliau, di saat-saat kejatuhan empayar Melayu Melaka hasil sains dan teknologi yang digunakan dalam konflik yang tercetus tidak dapat menandingi kehebatan teknologi armada Portugis begitu juga pada zaman penjajahan Belanda dan Inggeris.
“Kita perlu mengambil iktibar daripada pengalaman sejarah yang pahit itu. Saya juga berharap persidangan ini akan dapat mengalih arah pandangan para orientalis yang lebih berminat mengkaji perkara-perkara yang tidak saintifik di alam Melayu, misalnya kepercayaan tahyul seolah-olah sains adalah milik mereka sepenuhnya dan tidak ada langsung pemikiran sains dan hasil teknologi di alam Melayu,” tegas beliau. Ucapannya dibacakan oleh Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Prof. Dr Abdul Latif Samian.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nusantara Technologies Sdn Bhd. Datuk Ghazali Mohamed Yusoff berkata Melayu perlu mengubah cara berfikir terhadap konsep ilmu sains dan teknologi kerana ia salah satu cabang ilmu dalam Islam.
“Justeru penguasaan terhadap ilmu sains dan teknologi adalah suatu fardhu bagi umat Islam khususnya bangsa Melayu supaya kita menjadi contoh dan teladan serta pemimpin kepada umat lain,” katanya.
Lebih 60 kertas kerja dibentangkan pada persidangan tiga hari dihadiri 150 peserta dari UKM, Universiti Kuala Lumpur, Universiti Malaya, Universiti Putara Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Riau, Universiti Yarsi, Universiti Negeri Yogyakarta, Universiti Gadjah Mada, Universiti Brunei
Darussalam, Fu Guang University (Taiwan) dan Dewan Riset Nasional, Indonesia.