Pemenang Hadiah Mengarang Esei Ekonomi UKM Menerima Hadiah
Oleh Nurmayamin bt Sulaiman
Foto oleh Saliman Leman
BANGI, 29 Dis 2010 – Seramai 24 orang pelajar telah diumumkan menangi Peraduan Mengarang Esei Ekonomi sempena Sambutan Ulang tahun ke 40 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini semalam.
Mereka terdiri dari lapan orang pemenang bagi setiap kategori terdiri dari kumpulan untuk Tingkatan 4 dan 5, Tingkatan 6 dan Matrikulasi dan Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Bagi kategori tingkatan 4 dan 5, Mohamad Fazul Rahman Mohamad Yunus dari Sekolah Menengah Vokasional Nibong Tebal, Pulau Pinang dipilih sebagai pemenang utama diikuti Cheong Kang Jin dari Sekolah Menengah Methodist, Sibu, Sarawak dan Nur Farahin Nadia Mustafa Kamil dari Maktab Rendah Sains MARA Besut, Terengganu sebagai pemenang kedua dan ketiga.
Mohamad Fazul menerima hadiah wang tunai RM1000, sebuah komputer riba dan sijil manakala Kang Jin dan Nur Farahin masing-masing menerima RM700.00 dan RM500.00 serta sijil. Lima lagi pelajar di pilih memenangi hadiah sagu hati wang tunai RM100.00 dan sijil.
Bagi kategori tingkatan 6 dan matrikulasi, Stephanie Lonna Anak Juti dari Sekolah Menengah St. Thomas, Kuching, Sarawak dipilih sebagai pemenang utama diikuti Nur Syafiqah binti Mohd Nasir dari Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam, Shah Alam, Selangor pemenang kedua dan Teoh Khar Chuan dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chio Min, Kulim, Kedah di tempat ketiga.
Stephanie menerima hadiah wang tunai RM 1200, sebuah komputer riba dan sijil manakala Nur Syafiqah dan Teoh Khar Chuan masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1000 dan RM700 serta sijil. Manakala lima orang pemenang sagu hati masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM150 serta sijil.
Bagi kategori IPT pula, Norzanita Muhammad Mukhtar dari Fakulti Ekonomi Pengurusan (FEP), UKM Bangi mendapat tempat pertama diikuti oleh Chai Yu Zhen daripada Fakulti Sains Teknologi, UKM sebagai tempat kedua. Fatin Aminah binti Hassan daripada FEP, UKM dipilih memenangi tempat ketiga.
Norzanita menerima hadiah wang tunai berjumlah RM2000, sebuah komputer riba serta sijil manakala Chai Zu Yen dan Fatin Aminah masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1500 dan RM1000 serta sijil. Manakala lima orang pemenang hadiah sagu hati masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM200 serta sijil.
Hadiah-hadiah itu telah disampaikan oleh Dekan FEP, Prof Dr Mohamad Fauzi Mohd Janil di Dewan Kuliah 1, FEP. Hadir sama, Pengerusi Pusat Pengajian Ekonomi, Prof Dr Ishak Yusof dan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, Dr Tamat Sarmadi dan ahli-ahli jawatankuasa lain.
Prof. Dr. Mohd Fauzi dalam ucapannya berkata pertandingan itu bertujuan menyediakan platform yang luas bagi pelajar membincangkan isu semasa berkaitan ekonomi.
Ia juga adalah satu usaha untuk memperkaya ilmu serta memperbanyakkan bahan tulisan dan bahan bacaan mengenai isu ekonomi dalam Bahasa Melayu.
Aktiviti peraduan mengarang esei adalah saluran yang penting untuk memasyarakatkan FEP di kalangan pelajar sekolah menengah, matrikulasi dan IPT selain berharap para peserta peraduan tersebut bakal bergelar mahasiswa UKM pada masa hadapan, kata beliau.
Pemenang pertama kategori tingkatan 4 dan 5, Mohamad Fazul berkata kemenangan itu adalah yang pertama baginya kerana sebelum ini hanya pernah memenangi hadiah sagu hati sahaja. Beliau berharap dapat bertanding lagi pada masa hadapan kerana minat dalam bidang penulisan selain bercita-cita menyambung pengajiannya di UKM seandainya diberi peluang bagi mengikuti jejak kakaknya seorang graduan FEP UKM.
Stephanie Lonna pula amat gembira dengan kemenangannya juga kerana inilah juga pertamanya beliau memenangi peraduan menulis esei di peringkat universiti. Beliau berminat dalam bidang penulisan.
Sementara itu, Norzanita mengucapkan terima kasih kepada UKM kerana memberi peluang kepadanya untuk menyertai peraduan itu walaupun tidak menyangka akan memenanginya kerana hanya menyertainya pada saat-saat akhir. Beliau juga mempunyai minat mendalam di bidang penulisan dan ekonomi sejak di bangku sekolah sehingga ke peringkat universiti.