Pengajaran etika sekarang menjadi sebahagian kurikulum universiti, kata Naib Canselor UKM
Rabu, 01 Disember 2010 16:23
Oleh Kuah Guan Oo
Foto oleh Saliman Leman
BANGI, 1 Dis. 2010 – Sesuatu masyarakat yang sihat bukan hanya bergantung kepada pendapatan per kapita yang tinggi tetapi juga kepada budaya dan amalan etika dan profesionalisme yang baik dalam semua bidang.
Kelakuan baik demikian perlu diserapkan ke dalam watak setiap insan dan ia mengambil masa untuk menjadi budaya hidup kerana ia tidak boleh diwujudkan dalam tempoh sehari, semester atau setahun.
Demikian dinyatakan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dalam ucapannya merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Etika dan Profesionalisme yang pertama di sini hari ini.
Ia dianjurkan bersama oleh Pusat Pengajian Am UKM dan Unit Serantau untuk Sosial dan Sains Manusia di Asia dan Pasifik (RUSHSAP) UNESCO.
Prof Sharifah Hapsah berkata perbincangan mengenai isu-isu berkaitan etika dan profesionalisme adalah tepat pada masanya memandangkan skandal korporat besar yang berlaku sebelum ini telah menyusahkan orang ramai dan membawa akibat buruk terhadap economi seluruh dunia.
“Skandal yang melibatkan syarikat gergasi seperti Enron, Arthur Anderson, Morgan Stanley, Worldcom dan sebagainya telah menyedarkan orang ramai terhadap pentingnya pimpinan korporat yang beretika.
“Sebab utama skandal itu berlaku ialah ketamakan manusia yang berjangkit kepada pemimpin korporat yang kebanyakannya adalah ahli profesional.” Berikutan dengan kelakuan yang tidak beretika dan kerakusan pimpinan korporat itu orang ramai kini sedar kelakuan yang tidak beretika bukan saja merugikan syarikat dan pemilik sahamnya tetapi telah memberi impak negatif kepada perdagangan dan ekonomi dunia.
Kini banyak kurikulum universiti menekankan pentingnya diujudkan lulusan yang beretika. “Minda pemuda dan pemudi akan membawa maklumat ini ke tempat kerja mereka dan mereka patut memahami bahawa etika itu harus digunakan di sana, selain dalam kehidupan peribadi mereka,” katanya.
Beliau berkata UKM sebagai agen perubahan, berpendapat bahawa isu-isu etika dan profesionalisme harus mendapat perhatian dan dibincangkan. ke barisan hadapan.
Persidangan dua hari itu bertemakan “Sains, Teknologi dan Masyarakat yang Berkekalan” dihadiri oleh lebih 200 peserta, pembentang kertas dan penceramah dari Bhutan, India, Iran, Japan, Nigeria, Pakistan, Taiwan, Switzerland dan Malaysia.
Berdasarkan kertas kerja yang akan dikemukakan, beliau berharap persidangan itu akan berjaya menghasilkan satu rumusan menyeluruh mengenainya serta pandangan terkini terhadap etika dan profesionalisme dikalangan pemikir dan penyelidikan termasuk yang berkaitan sains, teknologi dan masyarakat yang berkekalan.
“Saya harap minda kolektif cendekiawan, pengamal dan pemikir di persidangan ini akan membuahkan idea yang kukuh, cara untuk mengajar dan menguatkan lagi nilai murni dan kelakuan beretika untuk dimanfaatkan oleh individu, masyarakat, pertubuhan dan negara masing-masing,” katanya.
Terdahulu daripada itu, Prof Dr Darryl Macer, penasihat serantau RUSHSAP, berkata persidangan itu adalah satu platform luas untuk membincangkan masa depan yang mereka mahu.
Persidangan itu juga akan menimbangkan persoalan apakah etika dan profesionalisme yang dimaksudkan dari segi sains, teknologi dan masyarakat yang berkekalan. Turut dibincangkan ialah bagaimana piawaian etika boleh diujudkan dikalangan kaum profesional untuk menghadapi teknologi baru seperti kejuruteraan genetik.