Pesakit Serangan Angin Ahmar Lebih Cenderung Mendapatkan Rawatan ‘Bomoh’
Jumaat, 17 Disember 2010 16:36
Oleh Shahfizal Musa
Foto oleh Saliman Leman
KUALA LUMPUR 17, Dec. 2010 – Kebanyakan pesakit diserangi angin ahmar cenderung untuk mempercayai bomoh dan sinseh dari rawatan amalan klinikal yang berlandaskan bukti penyelidikan di hospital hingga telah menjadi suatu cabaran besar kepada doktor.
Padahal rawatan terawal untuk pesakit angin akhmar adalah yang berkesan dan terbaik untuk menyembuhkan pesakit kerana apabila sudah menjadi genting rawatannya akan lebih mencabar kepada doktor, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dr. Hou Kok Chung.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan sistem rawatan strok the ‘Kuala Lumpur Regionalised Integrated Stroke Intervention Strategic Systems’ (KRISIS) di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan (PPUKM) di Cheras semalam.
KRISIS adalah suatu sistem pengurusan rawatan angin ahmar yang komprehensif bertujuan memastikan pesakit mendapat rawatan yang terbaik yang terdapat dalam negara sekarang.
Beliau menghuraikan beberapa statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang agak menggerunkan dengan harapan orang ramai akan memandang serius terhadap serangan angin ahmar.
Antara statistik itu ialah seorang daripada setiap enam individu akan mengalami serangan strok sepanjang hayatnya. Setiap saat, akan ada seorang insan yang mengalami strok di dunia dan setiap 6 saat satu nyawa akan terkorban akibat serangan strok. Strok juga tidak mengenal usia dan turut menyerang bayi, kata Dr Hou.
Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan, di Malaysia strok adalah antara lima penyebab utama kematian bagi pesakit yang dimasukkan ke hospital.
“Apa yang lebih membimbangkan ialah kecacatan yang terjadi kesan daripada strok, yang memberi implikasi yang besar terhadap aspek sosioekonomi dan psikologi bukan sahaja kepada pesakit itu sendiri malah kepada keluarganya, masyarakat dan negara.”
Beliau telah memberikan beberapa garis panduan untuk meningkatkan kesedaran mengenai serangan ahmar.
“Tahap kesedaran mengenai strok dan penjagaan kesihatan diri sendiri perlu diberi perhatian. Pertubuhan Strok Sedunia (WSO) menggariskan enam langkah mudah yang harus diamalkan, iaitu;
- Mengetahui faktor risiko sendiri mengenai tekanan darah, kencing manis dan keadaan kolesterol,
- Aktif secara fisikal dan kerap melakukan senaman,
- Tangani masaalah berat badan menerusi cara pemakanan yang sihat,
- Kurangkan pengambilan alkohol,
- Elakkan daripada merokok atau menghidu asap rokok orang lain, dan
- Mengenali tanda amaran strok dan bagaimana untuk bertindak menanganinya.
Beliau memuji PPUKM kerana menubuhkan KRISIS dimana doktor pelbagai disiplin bersepakat menggembelingkan kepakaran mereka untuk satu tujuan murni.
KRISIS adalah suatu sistem pengurusan pesakit ahmar yang menggembelingkan kepakaran doktor dari pelbagai bidang. Anggotanya akan menjalankan tugas biasa mereka dan muncul bersatu setiap kali ada pesakit serangan angin ahmar.
Timbalan Dekan Fakulti Perubatan (Pengajian Siswazah dan Antarabangsa) Prof Dato’ Dr Raymond Azman Ali yang menerajui KRISIS berkata “KRISIS telah merawat lebih daripada 500 orang pesakit angin ahmar sejak program itu dimulakan pada akhir tahun 2007.”
Berikutan itu rawatan secara ‘stroke reversal’ dimana pesakit serangan itu dapat dipulihkan seperti sediakala juga telah digunapakai seperti kaedah mencairkan darah yang beku dalam otak.
Pelancaran KRISIS diikuti dengan seminar dua hari yang bertajuk “A KRISIS Solution for KRISIS at hand: A call for action to improve stroke care in Malaysia di mana peserta dari seluruh negara berkumpul untuk membincangkan pengalaman mereka dalam merawat pesakit angin ahmar.
Turut hadir ialah Timbalan Dekan (Klinikal dan Rawatan Intensif), Fakulti Perubatan UKM Prof Dr Jaafar bin Md Zain.